Terengganu tidak boleh terlalu hormati JDT

Sukan

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) perlu membuat persiapan rapi untuk berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 17 Januari ini.

Dalam masa yang sama, ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali percaya anak-anak buahnya akan memberikan komitmen penuh untuk beraksi cemerlang dalam pertarungan itu.

Badrul Afzan berkata, beliau akan melihat semula kekuatan JDT untuk memperkemaskan skuad Sang Penyu sebagai persiapan menghadapi perlawanan penting berkenaan.

“Saya bersyukur layak ke separuh akhir Piala Malaysia walaupun bakal berdepan JDT, tetapi kita tidak boleh terlalu menghormati mereka.

“Kita akan melawan JDT sebaik dan sehabis mungkin,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, kelmarin.

TFC layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan NSFC 4-2 pada perlawanan kedua suku akhir itu untuk menang dengan agregat 6-2.

Mengulas aksi berdepan NSFC, Badrul Afzan memuji semangat juang yang dimiliki pemainnya untuk mengesahkan kemenangan walaupun terpaksa bangkit daripada ketinggalan berpunca daripada kesilapan sendiri.

“Pemain terlalu ghairah untuk menyerang dan menjaringkan gol sehingga lupa di bahagian belakang dan tidak fokus kita kena 2-0. Mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dan menang 4-2 untuk aksi ini.

“Terima kasih kepada pemain yang kita lihat mereka bermain bermati-matian. Cemas memang cemas. Keseluruhan permainan kita kawal tetapi kita leka di bahagian pertahanan menyebabkan kita tidak tersusun apabila lawan menyerang untuk menjaringkan gol,” katanya.-UTUSAN