Perkara biasa jurulatih tinggalkan BAM

Sukan

PETALING JAYA: Tindakan tiga jurulatih kelahiran Malaysia menyertai Persatuan Badminton Hong Kong pada Februari ini bukan sesuatu perkara yang mengejutkan kerana perkara itu sering berlaku sebelum ini.

Itu pandangan yang diberikan oleh bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj apabila memberitahu selain tawaran gaji yang lumayan, kebolehan untuk bekerja bersama individu yang ‘satu kepala’ menjadi satu kelebihan.

“Tidak mengejutkan saya. Wong Choong Hann merupakan ketua jurulatih Hong Kong jadi sudah tentu dia boleh memilih jurulatih mana yang dia nak. Semua jurulatih Malaysia yang ke sana semuanya pernah berlatih bersama Choong Hann.

“Jadi apabila anda sudah tahu dengan siapa yang anda mahu bekerja ia akan menjadi senang ditambah pula dengan gaji yang lumayan. Siapa tidak mahukannya?

“Ramai yang lari (membimbing pasukan negara lain) kerana bayaran gaji yang tinggi dan BAM tidak boleh halang. Sebelum ini, Lee Wan Wah jadi jurulatih beregu di Jepun manakala Tan Kim Her bergelar jurulatih beregu India,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Persatuan Badminton Hong Kong sah memikat tiga jurulatih kelahiran Malaysia iaitu Jeremy Gan, Loh Wei Sheng dan Tan Bin Shen untuk menyertai ketua jurulatih Hong Kong, Chong Hann bermula pada Februari depan.

James yang merupakan bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan turut mengakui senario tersebut dapat disaksikan di BAM apabila Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky membawa jurulatih dari negara kelahirannya, Indonesia.

Antaranya adalah jurulatih perseorangan wanita, Jeffer Rosobin, jurulatih beregu lelaki, Muhammad Miftakh dan ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto.-UTUSAN