Kelmarin di Seremban, semasa berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias terbuka menyatakan harapan, agar rundingan kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan BN di negeri ini bakal membawa kepada pembahagian kerusi sama rata pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut Jalaluddin, BN pasti akan berusaha kuat untuk mempertahankan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu selain tekad merampas tiga buah kerusi yang tewas kepada Perikatan Nasional (PN) iaitu Serting, Bagan Pinang dan juga Gemas.
Selain itu beliau melihat wajar untuk diberikan satu lagi kerusi untuk ditandingi hasil rundingan itu kelak. Ini bermakna pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 nanti, BN dan PH masing-masing akan bertanding dengan jumlah kerusi yang sama iaitu 18 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN yang ada.
Jika mengikut kepada formula berkenaan, PH Negeri Sembilan yang kini dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun juga akan kekal bertanding di 17 buah kerusi DUN yang telah dimenangi sebelum ini. Oleh itu sekiranya PH bersedia ke arah pembahagian kerusi yang sama rata dan seimbang bagi ditandingi, di manakah kerusi itu?
Selepas PRN lalu, PH gagal mempertahankan dua buah kerusi yang diduduki mereka sebelumnya, iaitu Paroi dan Labu. Jika di antara dua buah kerusi ini, mana satu yang bersedia untuk mereka lepaskan dan diberikan kepada BN untuk ditandingi atas semangat Kerajaan Perpaduan itu.
Sebenarnya bukan mudah untuk PH berdepan situasi itu apatah lagi menuju kepada PRN yang lepas, PH telah berjiwa besar untuk melepaskan kerusi DUN Lenggeng yang sebelum itu dimenangi mereka menerusi Parti Amanah Negara (Amanah) supaya dapat ditandingi pula oleh BN.
Dapatkah PH berjiwa besar lagi? Jika Paroi menjadi kerusi yang mahu ditandingi oleh BN adakah Amanah bersedia untuk berkorban lagi apatah lagi parti itu sudah dua kali bertanding di situ. Jika kerusi Labu yang menjadi tumpuan rundingan, ia memerlukan pengorbanan PKR pula kerana ia merupakan kerusi tradisi buat PKR.
Situasi berkenaan menguji pula kewibawaan dan jiwa besar Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan. Adakah PKR bersedia memenuhi kehendak BN dan demi semangat Kerajaan Perpaduan?
Jika melihat kenyataan Aminuddin semasa Konvensyen Tahunan Amanah Negeri Sembilan di Seremban awal bulan lalu, beliau semangat menyatakan PH akan merampas kembali kerusi Paroi.
“Saya akan terus memberikan komitmen tinggi kepada Pengerusi Amanah (Negeri Sembilan) untuk pastikan bahawa bukan sahaja kita pertahankan Klawang tetapi akan dapat tawan semula Paroi,” katanya pada waktu itu.
Bagaimanapun, melihat kepada keadaan semasa dan gerak kerja di lapangan selain penampilan ataupun paparan di media sosial, gayanya formula status quo masih lagi diguna pakai dengan formula 19 kerusi buat PH dan 17 untuk BN.-UTUSAN.