Tiada istilah masih awal, Wanita UMNO sedia hadapi PRU16

Politik

DUNGUN: Pergerakan Wanita UMNO telah memulakan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) walaupun ada yang berpandangan masih terlalu awal berbuat demikian.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa.

“Gerak kerja wanita memang kita tak berhenti-henti dan untuk menghadapi PRU pun telah kita mulakan di peringkat akar umbi walaupun kalau nak ikutkan orang berpandangan masih lama lagi nak PRU.

“Kita mahu Wanita sentiasa bersedia dalam menghadapi PRU bila-bila masa sahaja dan mereka telah turun ke akar umbi termasuk Wanita UMNO di Terengganu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Wanita UMNO Cawangan Dungun, di sini hari ini.

Noraini berkata, Wanita UMNO merupakan tulang belakang dan barisan paling hadapan yang membantu UMNO dan Barisan Nasional.

“Wanita berperanan turun ke akar umbi, mendampingi pengundi tanpa mengira masa bukan hanya waktu PRU dan kita juga turut menggunakan media sosial yang mana kita ada sekretariat Penerangan, Media dan Digital (PMD) untuk melatih wanita memberi respon secara online,” katanya. – UTUSAN