PETALING JAYA: Jumlah dagangan ternakan di Malaysia meningkat 23.2 peratus atau RM254.7 juta kepada RM1.4 bilion pada 2023, berdasarkan Tinjauan Perangkaan Perdagangan Malaysia (MTSR) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan permintaan terhadap ternakan dan produk berkaitan bagi memenuhi keperluan penggunaan domestik dan industri.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, MTSR 2024 mensintesis prestasi perdagangan Malaysia untuk industri ternakan dengan memfokuskan kepada ternakan terpilih seperti ayam, telur, lembu, biri-biri dan kambing, itik dan babi.
Katanya, analisis ini bertujuan untuk memperkukuh pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai sumbangan industri terhadap ekonomi serta peranannya dalam membentuk perspektif ekonomi yang holistik.
“Industri ternakan di Malaysia telah mencatat perkembangan dan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekaligus memberi sumbangan signifikan kepada sektor pertanian negara.
“Sektor ayam dan telur kekal sebagai penyumbang terbesar kepada subsektor ternakan dan memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan protein rakyat Malaysia.
“Nilai eksport ayam mencapai RM726.7 juta pada 2023, meningkat 27.0 peratus atau RM154.4 juta berbanding tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, pengeluaran telur di Malaysia terus mencatat prestasi yang memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM671.2 juta pada tahun 2023 serta memenuhi permintaan pasaran di peringkat serantau.
Mohd Uzir memberitahu, industri ruminan di Malaysia masih didominasi oleh sektor luaran, dengan nilai import lembu hidup meningkat pesat bagi memenuhi penggunaan domestik dengan peningkatan nilai import daripada RM82.8 juta pada 2022 kepada RM108.7 juta pada 2023.
“Nilai import ternakan untuk biri-biri dan kambing mencapai RM27.2 juta pada 2023 iaitu Australia dan Indonesia kekal sebagai pengeksport utama ke Malaysia. Industri itik mencatatkan prestasi yang sangat kukuh pada tahun 2016 dengan jumlah nilai perdagangan RM4.6 juta.
“Namun, ia mengalami penurunan besar 93.7 peratus kepada RM45,124 pada 2023. Perdagangan babi di Malaysia meningkat daripada RM 141.7 juta pada 2022 kepada RM 179.1 juta pada 2023,” ujarnya.
Beliau menghuraikan, industri ternakan menghadapi ketidakseimbangan perdagangan iaitu jumlah import secara konsisten mengatasi jumlah eksport.
“Pada 2023, defisit perdagangan bagi produk ternakan berjumlah RM849.1 juta dan menggariskan keperluan untuk campur tangan strategik untuk meningkatkan pengeluaran dan daya saing tempatan.
“Singapura terus menjadi destinasi eksport utama produk ternakan di Malaysia dengan menyumbang 96.4 peratus daripada jumlah eksport ternakan. Vietnam dan Brunei juga merupakan sebagai destinasi eksport utama selain Singapura.
“Sebaliknya, negara asal utama import ternakan ialah Australia, New Zealand dan Thailand, secara kolektif menyumbang 84.8 peratus daripada jumlah import ternakan di Malaysia,” jelasnya.-UTUSAN