PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mengeluarkan kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas awam mengenai cadangan pindaan kepada Peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn. Bhd. (Depository).
Pindaan ini bertujuan untuk memudahkan usaha Bursa Malaysia dalam mengadaptasi digitalisasi lebih lanjut dalam pengeluaran penyata akaun sekuriti kepada pendeposit (penyata CDS), sebagai sebahagian daripada komitmen lebih luas Bursa Malaysia terhadap kemampanan alam sekitar.
Bursa Malaysia berkata, cadangan pindaan ini mencadangkan agar penyata CDS boleh didapati melalui portal MyBURSA untuk meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan kepada semua pendeposit.
“Penyata CDS dalam bentuk salinan fizikal masih akan disediakan, dengan bayaran tertentu, atau dalam keadaan luar biasa kepada pendeposit yang menunjukkan keperluan jelas untuk pengaturan tersebut.
“Selain itu, pindaan yang dicadangkan memerlukan semua penerbit yang sekuritinya kekal disimpan dengan Depository untuk mengemas kini maklumat mereka dan semua pihak yang tertakluk kepada peraturan Depository untuk menyediakan maklumat yang tepat dan lengkap kepada Depository.
“Keperluan ini adalah penting untuk memastikan integriti data dan ketelusan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Bursa menjelaskan, pindaan yang dicadangkan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecekapan operasi dan amalan lestari, sambil memastikan bahawa Peraturan Depository kekal relevan dalam memenuhi keperluan pelabur dan pihak berkepentingan.
“Butiran lanjut mengenai kertas perundingan dan pindaan yang dicadangkan boleh didapati di https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation,” katanya.
Bursa Malaysia mengalu-alukan pandangan dan maklum balas daripada orang awam mengenai pindaan yang dicadangkan.
Pihak yang berminat dijemput untuk menghantar komen mereka kepada Bursa Malaysia sebelum 14 Februari 2025.-UTUSAN