PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM237.8 bilion pada November 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM126.6 bilion dan RM111.3 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport bernilai RM126.6 bilion pada November 2024, meningkat sebanyak RM5.0 bilion (+4.1 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Ujarnya, peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM10.7 bilion), Perak (+RM373.5 juta), Labuan (+RM258.8 juta), Selangor (+RM46.8 juta), Melaka (+RM18.0 juta) dan Perlis (+RM3.6 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di Kuala Lumpur sebanyak RM2.0 bilion, Johor (-RM1.9 bilion), Kedah (-RM1.0 bilion), Sabah (-RM390.2 juta), Terengganu (-RM353.7 juta), Pahang (-RM262.0 juta), Negeri Sembilan (-RM217.7 juta), Sarawak (-RM180.3 juta) dan Kelantan (-RM20.1 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 36.4 peratus, diikuti oleh Johor (18.4 peratus), Selangor (17.3 peratus), Sarawak (7.9 peratus) dan Kuala Lumpur (3.8 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd. Uzir berkata, import pada November 2024 meningkat RM1.8 bilion (+1.6 peratus) berbanding bulan sama tahun lalu.
“Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.4 bilion), Johor (+RM499.2 juta), Labuan (+RM232.1 juta), Kedah (+RM158.3 juta), Kelantan (+RM57.4 juta), Perlis (+RM53.6 juta) dan Terengganu (+RM52.4 juta).
“Namun, nilai import jatuh di Negeri Sembilan sebanyak RM1.3 bilion, Kuala Lumpur (-RM1.1 bilion), Melaka (-RM746.4 juta), Pahang (-RM706.6 juta), Sarawak (-RM625.8 juta), Perak (-RM354.1 juta), Selangor (-RM316.2 juta) dan Sabah (-RM232.3 juta).
“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.8 peratus, diikuti oleh Pulau Pinang (24.7 peratus), Johor (20.5 peratus), Kuala Lumpur (8.3 peratus) dan Kedah (5.7 peratus),” ujarnya. – UTUSAN