TMS 2025: Selangor sasar transaksi pelancongan RM11.7 bilion

Perniagaan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor optimis menyasarkan transaksi pelancongan mencecah RM11.7 bilion sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025).

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, keyakinan itu bersandarkan sasaran kehadiran seramai lapan juta pelancong domestik dan luar negara tahun depan.

Jelas beliau, pihaknya melakukan persediaan rapi terutama melibatkan infrastruktur pelancongan dan pelbagai program yang dirangka sempena TMS 2025.

“Projek infra pelancongan itu dipastikan untuk dilaksanakan sejak setahun lalu dan kita bersiap siaga menerima seramai mungkin pelancong ke Selangor.

“Menerusi kerjasama semua pihak, kita sasar resit perbelanjaan pelancongan yang akan menjana ekonomi negeri mencecah RM11.7 bilion nanti,” katanya pada majlis penyerahan Bantuan Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebuah syarikat swasta di Sekinchan di sini, semalam.

Kata Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, semua penggiat industri pelancongan diharap bersedia memberi perkhidmatan terbaik dan mengutamakan aspek keselamatan pelancong.

“Saya melihat penggiat industri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) siap sedia untuk menerima kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Kita juga akan terus menghebahkan kempen TMS ini dengan kerjasama baik semua pihak seperti ADUN, Ahli Parlimen dan agensi pelancongan bagi merealasasikan sasaran itu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya turut mahu menonjolkan Anjung Utara di Sabak Bernam dan Kuala Selangor sebagai destinasi pelancongan utama negeri ini.

“Sebagai contoh, Sekinchan bukan saja dikenali dengan bendang dan jelapang padi malah mampu menjadi sebuah kota agropolitan.

“Selain itu, Sabak Bernam juga mempunyai tarikan tersendiri seperti penganjuran Karnival Ban Canal, Sky Mirror dan Konservasi Kelip Kelip,” katanya. – UTUSAN