SEREMBAN: Pembahagian kerusi sama rata di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan bukan menunjukkan UMNO tidak yakin menang jika bergerak solo untuk menghadapi pilihan raya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebaliknya ia menunjukkan kesefahaman antara BN dan PH untuk memperkukuhkan kerjasama di dalam kerajaan Perpaduan.
Katanya, perkara itu perlu mengambil kira situasi semasa untuk menjalinkan kerjasama antara BN dan UMNO dengan PH.
“Tidak timbul soal UMNO atau BN kurang yakin untuk menang, sebaliknya ini menunjukkan persefahaman BN-PH sekali gus memperkukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO sudah biasa bertanding sebagai parti tunggal BN dalam menghadapi 12 kali pilihan raya, tiada masalah. Kita boleh menghadapi pilihan raya secara solo tetapi keadaan suasana politik sekarang berubah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu Bagi Negeri Sembilan 2024 di sini semalam.
Pada program itu, seramai 58 daripada 62 individu menerima surat penerimaan bina rumah baharu di bawah skim PPRS di Negeri Sembilan pada tahun ini dengan peruntukan RM4.8 juta
Media sebelum ini melaporkan, Jalaluddin pada Konvensyen BN Negeri Sembilan baru-baru ini menyuarakan harapan rundingan kerusi antara BN dan PH akan membawa kepada pembahagian kerusi sama rata pada pilihan raya akan datang.
Kenyataan itu mencetuskan maklum balas Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan apabila Pengerusinya, Mohamad Hanifah Abu Bakar yang berkata, BN tidak yakin untuk memenangi negeri itu dalam pilihan raya akan datang sekiranya bergerak solo.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, pembahagian tersebut juga sekali gus dapat memberikan lebih keyakinan kepada pemimpin serta rakyat di peringkat akar umbi untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua parti ini.
‘Ia atas asas kita ada dua parti besar iaitu PH dan BN, ia merupakan pengiktirafan kerjasama yang baik di antara BN dan PH. Ia berikan keyakinan kepada rakyat untuk kepimpinan total, ini hasrat saya supaya mempunyai keadilan dan suatu kefahaman sangat tinggi berbanding tempat lain,” katanya.-UTUSAN