Anwar-Thaksin bincang isu serantau, ekonomi ASEAN

Perniagaan

PETALING JAYA: Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sahabat baiknya yang juga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra melibatkan perbincangan beberapa perkara termasuk peranan pemimpin itu sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

Perdana Menteri berkata, perbincangan tersebut merangkumi isu-isu kritikal serantau yang memerlukan perhatian segera.

“Antara topik utama yang dibincangkan adalah usaha melonjakkan ekonomi serantau, perkembangan teknologi baharu, inisiatif damai di Selatan Thailand dan penyelesaian krisis di Myanmar.

“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki oleh Thaksin di rantau ini membolehkannya memainkan peranan penting dalam membuka peluang baharu bagi Malaysia dan ASEAN untuk menangani cabaran-cabaran ini dengan yakin dan berkesan,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dan Thaksin turut bertukar pandangan mengenai langkah memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand.

Kata beliau, perkara itu selaras dengan visi dan persefahaman yang dikongsikan bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” tambahnya.