Pas ambil tindakan undang-undang – Utusan Malaysia

Politik

PETALING JAYA: Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan melampau dan penuh emosi yang dikeluarkan menteri berkenaan.

Katanya, Kor Ming telah menuduh Pas sebagai sesat, menyebar ajaran sesat, menunggang agama, ‘merosakkan keharmonian masyarakat dan menyekat sambutan Krismas.

“Ledakan emosi yang melulu dan tidak terkawal ini dipercayai berpunca daripada teguran dan kemusykilan ditimbulkan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Hanif Jamaluddin, berhubung kehadiran orang Islam dalam majlis sambutan Krismas anjuran kementerian itu baru-baru ini.

“Susulan kenyataan itu, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan kenyataan balas yang sepatutnya menjelaskan keadaan, namun nampaknya ia menempelak pula kemusykilan yang ditimbulkan.

“Sejarah membuktikan sejak selepas kemerdekaan negara, tidak pernah berlaku di kementerian mahupun agensi kerajaan menganjurkan program perayaan keagamaan selain daripada Islam secara terbuka di premis kerajaan, apatah lagi turut membabitkan pegawai dan kakitangan yang beragama Islam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Oleh itu, Pas menggesa KPKT supaya lebih peka dan berhati-hati pada masa akan datang dalam isu membabitkan hukum hakam agama termasuk dalam sambutan perayaan.

“Pas meletakkan liabiliti sepenuhnya kepada pemimpin DAP yang menjadi menteri ini sekiranya akibat keceluparannya akan mencetuskan ketegangan dan mengulangi sejarah hitam dalam negara yang tidak pun menguntungkan mana-mana pihak.

“Di sebalik cakap berdegar-degarnya mengenai keharmonian, perpaduan, kesatuan dalam kepelbagaian, saling menghormati dan sebagainya, beliau sendiri sebenarnya tanpa segan silu melanggar dan mencabar bukan sahaja bidang kuasa pihak berkuasa agama di negara ini, malah secara terang-terangan mencampuri urusan agama Islam.

“Dengan menyebut Pas bukan sahaja sesat tetapi menyebarkan ajaran sesat, Nga Kor Ming dianggap turut melanggar hak dan sempadan kuasa serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja sebagai ketua agama Islam, mencabar bidang kuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab ke atas penentuan status keagamaan mana-mana orang atau kumpulan orang Islam,” katanya.

Semalam, Kor Ming menempelak Pas atas sikap hipokrit parti itu berhubung sambutan Hari Krismas yang diadakan di pejabat KPKT di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau turut berkata, parti itu dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya apabila memberi kenyataan bercanggah berkaitan perayaan berkenaan. – UTUSAN