Pelan Transformasi Kota Lama agenda terbesar Dr. Hafidzah

Politik

PILIHAN Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (Amanah), Dr. Hafidzah Mustakim melakukan kejutan apabila merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama daripada Pas.

Mana tidaknya, Kota Lama adalah kubu kuat Pas selama lima penggal selepas menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 1999. Meskipun menang dengan majoriti tipis sebanyak 202 undi, Dr. Hafidzah tetap mahu memberi khidmat terbaik kepada rakyat dengan memperkenal Pelan Transformasi Kota Lama (PTKL).

Ia merangkumi empat teras strategik iaitu kitaran ekonomi yang mampan (teras strategik satu), kemudahan awam yang efisien dan efektif (teras strategik dua), perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti (teras strategik tiga), serta perkhidmatan inklusif untuk rakyat (teras strategik empat).

Dr. Hafidzah berkata, kerangka pelan itu digarap melalui maklum balas daripada pengundi hasil Kajian Keperluan Pengundi DUN Kota Lama 2024.

BIODATA
Nama penuh: Hafidzah Mustakim
Umur: 60 tahun
Pendidikan: Ijazah Perubatan MBBS, Universiti Monash, Melbourne, Australia.
Kerjaya dan pengalaman:
 1989-1991 (Western Hospital, Melbourne, Australia)
 1991-1995 (Hospital Kuala Lumpur)
 1995-1996 (Hospital Kota Bharu)
 1996-1997 (Hospital USM)
 (2023-Kini) ADUN Kota Lama
 (2023-2026) Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional
 Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Kelantan
 Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan
 Ketua AWAN Kawasan Kota Bharu
 Doktor Perubatan Pemilik Klinik Ikram, Kota Bharu.

 

Kitaran ekonomi mampan itu memberi tumpuan kepada dua Bidang Keberhasilan Utama (KRA) iaitu mengurangkan kadar kemiskinan tegar menerusi bantuan keperluan asas secara bersasar, teratur dan efisien kepada golongan miskin dan miskin tegar yang dikenal pasti secara bersepadu.

“Inisiatif ini memerlukan pembangunan pangkalan data yang komprehensif dan sentiasa dikemas kini penstrukturan sistem pengurusan bantuan, serta jalinan kerjasama kebajikan melibatkan pelbagai pihak.

“Fokus kedua pula, meningkatkan kegiatan ekonomi dan mengurangkan kadar pengangguran menerusi latihan kemahiran dan keusahawanan bagi melahirkan usahawan baharu serta pekerja mahir dalam kalangan rakyat DUN Kota Lama,” katanya.

Berhubung teras kedua dalam pelan transformasi iaitu kemudahan awam yang efisien dan efektif, ia melibatkan pemerkasaan pengurusan aduan dan permasalahan infrastruktur awam membabitkan pembangunan sistem pengurusan aduan rakyat berkaitan infrastruktur.

Dr. Hafidzah berkata, hal ini supaya maklumat dapat disalurkan dan dikemas kini dengan mudah serta sistematik untuk dibawa kepada perhatian pihak berwajib bagi tujuan penyelesaian.

“Seterusnya, pelan ini merangkumi pembinaan masyarakat yang prihatin menerusi hubungan dan kerjasama erat antara ADUN Kota Lama, pemimpin masyarakat dan rakyat dalam inisiatif kebersihan serta keceriaan kawasan,” ujarnya.

Dr. Hafidzah berkata, teras strategik ketiga melibatkan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti.

“Hasrat saya mahu merakyatkan akses pendidikan berkualiti meliputi akademik dan agama Islam melalui pelbagai bentuk khususnya kepada golongan miskin dan miskin tegar secara bersasar dengan pemantauan keterlibatan mereka secara berterusan.

“Perkhidmatan kesihatan berkualiti secara serampang dua mata, iaitu menerusi program saringan kesihatan dan bantuan kit perubatan bagi golongan yang memerlukan serta meningkatkan kesedaran dalam penjagaan kesihatan diri dan ahli keluarga,” katanya.

Dr. Hafidzah berkata, teras strategik terakhir iaitu perkhidmatan inklusif dengan tumpuan meningkatkan kualiti perkhidmatan Wakil Rakyat Kota Lama.
Katanya, ia melibatkan perancangan strategik, mekanisme pelaksanaan dan pemantauan, pelaporan berterusan kepada rakyat serta ‘visibility’ berkesan serta perhatian khas kepada kumpulan sasar.

MASA PELAKSANAAN

Proses implementasi pelan strategik itu dibahagikan kepada tiga fasa sebagaimana garis panduan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh satu penggal berkhidmatan.

Katanya, fasa pertama yang bermula pada 2024/2025 iaitu mengenal pasti keperluan rakyat secara komprehensif merentas kaum, agama dan fahaman politik.

“Fasa kedua (2026) akan membawa arus perubahan melalui pelaksanaan PTKL dengan kesan signifikan dan dirasai rakyat. Setiap KPI yang dicapai akan memberikan kesan positif kepada tahap sosioekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kesihatan rakyat di DUN Kota Lama.

“Fasa ketiga (2027) saya mahu melibat perubahan signifikan secara maksimum hasil penambahbaikan dan penyelesaian isu-isu kritikal melibatkan kemiskinan, pengangguran, pendidikan, kesihatan dan seumpamanya,” terangnya.

JADI YANG BERKHIDMAT

Dr. Hafidzah berkata, mandat yang diberikan oleh warga DUN Kota Lama sebagai satu tanggungjawab besar dan harus dipikul dengan sebaik mungkin.

Katanya, dia lebih selesa menggunakan pendekatan ‘yang berkhidmat’ berbanding ‘yang berhormat’.
“Panggil sahaja ‘yang berkhidmat’ kerana ia membuatkan saya tidak mudah lupa dengan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN