KUANTAN: Syarikat awam, Muhibah Aset Berhad sedang membangunkan projek perumahan, hotel dan bangunan komersial membabitkan 1,005 unit dalam pembinaan dan 700 unit menunggu kelulusan kebenaran merancang dengan nilai keseluruhan berjumlah RM355 juta.
Syarikat tersebut memaklumkan, pihaknya buat masa ini mempunyai modal berbayar melebihi RM10 juta dan dijangka meningkat RM100 juta dalam masa terdekat.
“Setelah mencapai RM100 juta, Muhibah Aset Berhad akan menumpukan penyenaraian ke Bursa Malaysia. Insya-Allah syarikat berazam untuk penyenaraian sebelum Oktober 2025 untuk membolehkan tawaran awam permulaan (IPO) dijalankan.
“Muhibah Aset Berhad akan melaksanakan dan menyiapkan kontrak dalam masa yang sudah pun ditetapkan dan akan menyerahkan 1,005 unit rumah siap menjelang akhir Disember 2025.
“Pihak syarikat juga sentiasa akan menjaga kepentingan korporat dan CL sebagai penasihat kewangan kepada Muhibah Aset Berhad akan aktif ke arah IPO di Bursa Malaysia,” kata syarikat itu di sini hari ini.
Buat masa terdekat, Muhibah Aset Berhad akan melancarkan sebuah projek resort bertaraf mewah di Cherating di daerah ini.
“Sebagai penasihat kewangan yang berpengalaman CL akan memastikan perjalanan serta tatakelola Muhibah Aset Berhad diurus tadbir dengan baik dan mengikut perundangan,” ujar Pengarah Urusan Penasihat Kewangan CL, Mohamad Amir Mokhtar. – UTUSAN