BN Sabah sedia beri tawaran baharu menjelang PRN17

Politik

PITAS: Barisan Nasional (BN) Sabah bersedia memberi tawaran-tawaran baharu kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tawaran-tawaran itu sebagai langkah ke hadapan agar BN dapat mengeluarkan lapan daerah di Sabah daripada senarai daerah termiskin.

Beliau, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata, BN berikrar untuk membangunkan pelabuhan bertaraf antarabangsa serta menaik taraf lapangan terbang di Kudat sekiranya diberikan mandat untuk mentadbir Sabah pada pilihan raya akan datang.

“BN juga akan mempertingkatkan daya saing hidup rakyat dan menyediakan ruang pinjaman perniagaan kepada anak-anak muda kelak,” katanya semasa Program Gerak-17 UMNO Sabah DUN Bengkoka, semalam.

Menurutnya, jika dilihat kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya mengemukakan janji kosong untuk mengeluarkan daerah-daerah termiskin di Sabah.

Hakikatnya, kata beliau, ratusan ribu peluang pekerjaan yang dijanjikan masih gagal menangani kadar pengangguran di negeri ini.

“Mana peluang pekerjaan yang mereka canang-canangkan itu. Sabah masih kekal antara negeri termiskin di Malaysia. Kalau benar ada begitu banyak peluang pekerjaan, mengapa kadar kemiskinan masih tinggi,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, Sabah kini berdepan pelbagai masalah asas termasuk isu bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya.

“Jalan raya di Sabah seperti permukaan bulan. Kerajaan sibuk mengejar projek Lebuhraya Pan Borneo tetapi jalan sedia ada dibiarkan rosak teruk. Dari pantai timur ke barat Sabah, jalan raya berada dalam keadaan sangat menyedihkan hingga menyebabkan banyak kenderaan rosak,” katanya.

Bung Moktar berkata, rakaman video mengenai derma politik menggambarkan seolah-olah wakil rakyat GRS tidak cukup makan sehingga terpaksa mengharapkan duit derma. Jika inilah kerajaan yang rakyat pilih, memang mengecewakan.

Justeru, rakyat perlu bijak memilih kerajaan pada PRN17, jangan biarkan kerajaan yang gagal hari ini terus memerintah Sabah.

CAPTION
BUNG Moktar Radin (tengah) bersama pemimpin-pemimpin UMNO/BN semasa Program Gerak 17 UMNO Sabah di Pitas, semalam. – UTUSAN