Timbalan Ketua Bersatu Sabah keluar parti, sokong GRS

Politik

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Aksyah Nasrah hari ini mengumumkan keluar parti dan menyokong perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam Bersatu berkuatkuasa serta-merta.

“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Disember dan salinan surat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Bersatu.

“Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau adalah pemimpin kedua daripada Bersatu yang membuat keputusan sedemikian selepas Setiausaha Bersatu Sabah, Abdul Kadir Damsal mengumumkan keluar daripada Bersatu pada Julai lalu.

Aksyah berkata, beliau menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan perjuangan GRS dalam mempertahankan hak-hak dan kepentingan Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

Katanya, kejayaan besar Hajiji adalah menyatupadukan pemimpin dan rakyat Sabah melalui satu gabungan wadah politik GRS. Perpaduan rakyat Sabah ini merupakan perkara pokok yang menjadi teras kepada kemajuan negeri.

Justeru, beliau menyeru rakyat Sabah untuk memberi sokongan padu terhadap dasar, perancangan baik dan gagasan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah digagaskan oleh Hajiji.

“Melalui penyatuan dan gabungan semua parti-parti tempatan ini, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa negeri Sabah lebih maju dan berjaya dalam semua sektor dan bidang demi kepentingan dan faedah rakyat keseluruhannya.

“Kita harus beri mandat penuh kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) dan saya bersedia untuk membantu Hajiji dan GRS pada PRN kali ini,” katanya. – UTUSAN