MSPO 2.0 ditingkatkan standard minyak sawit lestari

Perniagaan

PETALING JAYA: Standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) (MSPO 2.0) berkuat kuasa hari ini, menetapkan penanda aras baharu dalam kelestarian, kebolehkesanan dan pengeluaran minyak sawit secara beretika. 

Menurut kenyataan, berdasarkan asas Standard MSPO 2013, MSPO 2.0 memperkenalkan kerangka kerja yang lebih tegas, sejajar dengan keperluan global yang berkembang dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sumber minyak sawit yang bertanggungjawab serta memastikan industri terus berada di barisan hadapan dalam amalan kelestarian.

“Sejak diperkenalkan pada 2013, pensijilan MSPO yang diwajibkan telah menjadi asas komitmen Malaysia terhadap kelestarian dan ketelusan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, audit pensijilan MSPO dilaksanakan oleh badan pensijilan bertauliah pihak ketiga yang bebas, memastikan piawaian integriti dan kredibiliti tertinggi.

“Untuk memupuk keterangkuman dan amalan kelestarian bermakna, pekebun kecil telah menerima latihan, panduan teknikal, dan bantuan sumber daripada kerajaan Malaysia untuk memastikan pematuhan kepada standard MSPO yang ketat,” katanya. 

Jelasnya, MSPO 2.0 membina asas itu dengan langkah-langkah kelestarian yang dipertingkatkan untuk mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam pengurusan minyak sawit secara bertanggungjawab. 

“Antaranya, ia memperkenalkan tarikh pengehadan penebangan hutan, di mana hanya kawasan yang tidak ditebang selepas 31 Disember 2019 layak untuk pensijilan. 

“Mekanisme kebolehkesanan yang menyeluruh memastikan ketelusan rantaian bekalan, manakala pensijilan wajib bagi pengedar meluaskan keperluan kelestarian ke semua peringkat rantaian bekalan. 

“Jadual pelaksanaan mandatori untuk pensijilan ini akan diumumkan secara berasingan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya. 

Baru-baru ini, MSPO 2.0 telah disenaraikan secara rasmi dalam Peta Standard Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC), sebuah platform yang diiktiraf di peringkat global yang dibangunkan oleh ITC, sebuah agensi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Perdagangan Dunia. 

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pensijilan MSPO menunjukkan dedikasi Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk memenuhi piawaian kelestarian global

“Ini sambil memastikan setiap pihak berkepentingan, daripada pekebun kecil hingga pemain industri besar, mendapat akses yang saksama ke pasaran.

“MSPO 2.0 mengukuhkan lagi komitmen ini dengan menangani permintaan yang semakin meningkat untuk kebolehkesanan, ketelusan, dan perlindungan alam sekitar,” katanya.-UTUSAN