Pelayar PDRM muncul juara di Kuala Terengganu

Sukan

KUALA TERENGGANU: Pelayar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah tersendiri apabila julung kalinya melalui pasukan pelayarannya menyertai Kejohanan Duyong Marina Resort Monsoon Challenge (DMRMC) 2024 di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, Terengganu.

Kejohanan yang berlangsung meriah anjuran Persatuan Pelayaran Terengganu (TSA) dengan kerjasama Duyong Marina Resort, Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) itu berlangsung dari 26 Disember dan berakhir hari ini.

Pasukan pelayaran polis itu menghantar dua wakil melalui dua kategori iaitu bagi acara perseorangan (ILCA 7) dan berpasangan (International 420).

Bagi kategori perseorangan, Pelayar PDRM mempertaruhkan Inspektor Mohd. Romzi Muhamad yang juga merupakan bekas atlet kebangsaan.

Manakala bagi acara berpasangan, PDRM menghantar Tg Mohd Amirul Asraf Tg Othman

Istimewanya, Inspektor Mohd Romzi menjadi juara keseluruhan bagi kategori yang ditandinginya iaitu (ILCA 7) manakala Tg Amirul berjaya menjadi Naib Johan (International 420).

“Kejohanan kali ini berlangsung dengan cemerlang dan prestasi pasukan pelayaran PDRM berada di tahap yang terbaik untuk kejohanan kali ini,” kata pengurus pasukan pelayaran PDRM, DSP Dzulkanaen Hardy Abdul Rahman, di sini hari ini. – UTUSAN