KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaungkan amaran awal untuk mempertahankan gelaran treble yang dilakar mereka, musim lalu, dengan Piala Sumbangsih menjadi buruan sulung pasukan itu menjelang aksi pembukaan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, hari ini.
Skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu akan berdepan naib juara MHL tahun lalu, Terengganu Hockey Team (THT) yang diterajui jurulatih, Mohd Hafizi Baharom pada Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Nor Saiful berkata, beliau menjanjikan satu aksi terbaik daripada anak-anak buahnya yang telahpun membuat persiapan rapi bagi mengekalkan Piala Sumbangsih terus berada di dalam genggaman mereka.
“Tahun ini, saya menjangkakan persaingan akan lebih menarik, lebih-lebih lagi dengan kehadiran pasukan luar yang turut memeriahkan liga hoki tempatan.
“Kami masih mengekalkan wajah-wajah lama dengan lapan pemain kebangsaan berada di dalam skuad kami dan pemain Korea Selatan, Jong Jung Hyun masih setia bersama TNB,” katanya.
Beliau berkata, walaupun bukan mudah untuk mempertahankan pencapaian musim lalu, tetapi, TNB berjanji hanya aksi terbaik yang bakal dipamerkan para pemainnya.
Katanya, tahun ini, beliau amat berharap skuad bimbingannya dapat mengurangkan kesilapan dalam setiap suku permainan dan mengekalkan rentak konsisten sepanjang liga berlangsung.
“Pasukan lawan akan berusaha mencari jalan untuk tumbangkan kami, jadi, saya mahu ingatkan para pemain agar sentiasa bekerja keras lebih-lebih lagi tahun ini terdapat pasukan luar yang menyertai MHL,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafizi pula berkata, para pemainnya masih mengingati kekecewaan, musim lalu, apabila gelaran liga terlepas daripada genggaman mereka.
“Hanya sikit yang memisahkan kami dengan gelaran pada tahun lalu, jadi, tahun ini kami lebih bersemangat untuk memburu kejuaraan dengan Piala Sumbangsih sebagai permulaan THT,” katanya.-UTUSAN
KAPSYEN: Nor Saiful Zaini (dua kiri) dan Mohd Hafizi (dua kanan) pada sidang media menjelang Piala Sumbangsih, Liga Hoki Malaysia 2025 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.