Kuasa mutlak jurulatih pilih pemain warisan

Sukan

PETALING JAYA: Barisan kejurulatihan memiliki kuasa penuh dalam membuat pemilihan pemain warisan yang akan mewakili Harimau Malaya pada masa akan datang.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, selepas pemain dipilih, FAM akan menguruskan proses dokumentasi.

“Kita menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan pemain kacukan yang akan dibawa untuk mewakili skuad kebangsaan.

“Setakat ini, tiada lagi pemain kacukan baharu yang dipilih pengurusan baharu skuad Harimau Malaya.

“Mungkin dalam proses pencarian kerana mahu yang berkualiti mewakili negara. Selain itu, sudah pasti barisan kejurulatihan tidak mahu tergesa-gesa memilih pemain kerana perlu mengenal pasti identiti selain memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, ada laporan mengatakan usaha untuk mendapatkan khidmat pemain berdarah warisan yang bermain di luar negara bagi menyertai skuad kebangsaan tidak semudah disangka.

Ini selepas tiga pemain yang beraksi di pentas Eropah sebelum ini menafikan mereka mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, biarpun dikaitkan dengan Harimau Malaya.

Terdahulu pencetus revolusi Harimau Malaya, Tunku Mahkota Ismail memberitahu ada sebahagian calon pemain warisan tidak tahu mengenai Malaysia, bahkan ada yang menafikan memiliki pertalian darah dengan Malaysia.-UTUSAN