Pas teruskan himpunan solidariti Najib, pertahan kuasa Agong

Politik

KUALA LUMPUR: Pas tetap meneruskan hasrat untuk berhimpun di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini sebagai tanda solidariti bersama Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agungnya,, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada keperluan untuk parti itu membuat semakan semula keputusan yang dibuat sebelum ini kerana himpunan solidariti berkenaan hanya bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang manipulasi.

Malah katanya, himpunan itu juga hanya kehadiran secara aman rakyat dalam menyokong semua usaha bekas Perdana Menteri itu mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.
Ini dalam memberikan kelonggaran tertentu ke atas hukuman yang dijalaninya, iaitu melalui dokumen yang dikenali sebagai ‘Titah Addendum’.

“Malangnya, timbul keraguan yang munasabah bahawa Titah Addendum ini, yang terhasil dari kuasa prerogatif Institusi Agong, kelihatan dikhianati dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa sehingga menafikan hak dan kelonggaran yang diberikan,

“Lalu memaksa Najib memohon kepada mahkamah melalui semakan kehakiman bagi suatu perintah agar kerajaan mengesahkan kewujudannya dan seterusnya mengambil tindakan lanjut selaras dengannya.

“Dengan itu Pas tiada hasrat untuk menyemak kembali seruan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya pada hari, masa dan tempat yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Susulan itu, himpunan terbabit dilakukan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.

Bagaimanapun, UMNO dalam satu kenyataan semalam menjelaskan yang parti itu menarik balik langkah tersebut dan menyerahkan kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh Najib.

Mengulas lanjut, Takiyuddin turut berkata, langkah Pas hadir ke himpunan solidariti terhadap Najib itu juga tidak menyanggah mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan.

“Pas mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Istana Negara hari ini berhubung kuasa prerogatif berdasarkan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Pas juga akur dan turut mendukung segala proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah undang-undang berhubung perkara tersebut melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda,” ujarnya. – UTUSAN