KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu membatalkan arahan kepada ahlinya untuk hadir menyertai Himpunan Solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Isnin ini.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, keputusan itu sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka memberi pengampunan, menangguhkan hukuman dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip Kesetiaan kepada raja dan negara, titah Seri Paduka berkaitan kuasa kuasa prerogatif baginda mengikut Perkara 42 (1) dan (2) adalah dijunjung tinggi.
“UMNO Terengganu juga menghormati saranan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara berkaitan cadangan Perhimpunan Solidariti tersebut berhubung aspek keselamatan dan ketenteraman awam. Jadi keputusan UMNO membatalkan cadangan perhimpunan tersebut difahami berdasarkan justifikasi yang jelas dan bersesuaian dengan perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN