MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan tetap hadir untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum di Istana Kehakiman, Isnin ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, kehadirannya bersifat individu bagi memberikan sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Sebagai ahli UMNO, kita menjunjung titah Seri Paduka dan menghormati keputusan parti untuk tidak berhimpun pada Isnin ini, tetapi saya tetap akan hadir untuk memberikan sokongan kepada DSN (Datuk Seri Najib) seperti yang dilakukan di Mahkamah Jalan Duta sebelum ini.
“Kita sama-sama berdoa supaya Allah permudahkan urusan kita dan memberikan keputusan terbaik untuk DSN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, UMNO dalam satu kenyataan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti mengambil pendirian untuk tidak meneruskan Himpunan Solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri itu bagi menghormati titah terbaharu Seri Paduka.
Menurutnya, UMNO menjunjung hormat titah Sultan Ibrahim berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN