MHL 2025: Negeri Sembilan, Qnet Phoenix catat keputusan seri

Sukan

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan dan Qnet Phoenix (Qnet) terpaksa berpuas hati dengan berkongsi mata apabila kedua-dua pasukan hoki wanita itu hanya mencatatkan keputusan seri 2-2, dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 di Stadium Hoki Seremban di sini petang tadi.  

 Pemain kedua-dua pasukan turun dengan semangat tinggi dalam perlawanan sulung masing-masing dalam liga itu yang bermula hari ini.

Negeri Sembilan mengejutkan pasukan pelawat dengan gol pertama pada minit ke-6 melalui Nur Syasya Atirah Firdaus.

Qnet bingkas bangkit daripada gol tersebut namun hujan lebat pada suku kedua memaksa permainan dihentikan kira-kira 15 minit.

Bersambung selepas itu, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan dengan gol padang oleh Nur Iman Adawiyah Mohd. Suhaimi pada minit ke-22.

Pasukan bimbingan Lailin Abu Hassan itu terus mengasak kubu tuan rumah melalui beberapa percubaan. Hasilnya, Nurdini Batrisyia Ridzuan berjaya meletakkan Qnet di depan dengan gol pada minit ke-48.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Negeri Sembilan menjaringkan gol penyamaan seminit selepas itu melalui pemain import dari China, Zuo Dandan.

Sehingga hon udara penamat dibunyikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri, 2-2.-UTUSAN.