THT juara Piala Sumbangsih 2025

Sukan

PETALING JAYA: Pasukan Hoki Terengganu (THT) menebus kekecewaan tahun lalu apabila menewaskan juara bertahan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 untuk merampas Piala Sumbangsih 2025 dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 malam tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada awal perlawanan untuk memburu jaringan dan THT berpeluang untuk menjaringkan gol selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan.

Namun, pukulan penyerang senior hoki kebangsaan, Faizal Saari terkena pemain pertahanan lawan.

Skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom terus melakukan asakan terhadap kubu lawan dan mereka hampir berada di depan pada minit ke-14 selepas Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil melakukan larian solo ke gawang TNB namun percubaannya terkena tiang.

TNB dihadiahkan penalti oleh umpire perlawanan pada minit ke-27 selepas pertahanan THT, Syarman Mat Tee mengangkat kayu hoki terlalu tinggi dan import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun mudah menyempurnakannya.

Selang tiga minit kemudian, THT memadam kelebihan tersebut dengan menyamakan kedudukan menerusi Faizal hasil pukulan sudut penalti.

Bersambung suku ketiga, THT berjaya menggandakan jaringan menerusi bekas pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-37 hasil pukulan sudut penalti.

THT berpeluang menggandakan jaringan selepas dihadiahkan penalti pada minit ke-57 bagaimanapun pukulan Lee Nam Yong diselematkan penjaga gol lawan.

Tahun lalu, TNB menewaskan THT 3-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh 60 minit perlawanan.

THT menewaskan TNB dua kali dalam aksi Piala Sumbangsih, masing-masing menang 3-2 pada edisi 2022 dan 4-3, pada 2023.

Sementara itu, perlawanan Piala Sumbangsih MHL Wanita menyaksikan PDRM menewaskan Malaysian University 1-0 dan jaringan tunggal tersebut dijaringkan Nur Dzakirah Dhania Izwan. – UTUSAN