Saya ‘turun’ hanya mahu sokong Najib 

Politik

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, keputusannya untuk tetap ‘turun’ pada Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak demi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu. 

Malah, beliau mengesahkan tindakannya itu telah dimaklumkan kepada Biro Politik UMNO untuk menyertai perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya esok.

Tegas Muhamad Akmal, kehadirannya bukan untuk berhimpun semata-mata, tetapi sekadar memberi sokongan kepada Najib dan beliau tidak nampak sebarang kesalahan untuk berbuat demikian.

“Ini bukan kali pertama saya turun. Setiap kali Najib hadir ke mahkamah, saya memang akan hadir, dan kehadiran saya nanti bukan untuk berhimpun tetapi lebih kepada menyatakan sokongan moral kepada beliau.

“Saya bukan tidak patuh kepada arahan parti, saya telah memaklumkan kepada Biro Politik UMNO dan mereka bersetuju dengan tindakan saya. 

“Saya tidak nampak tindakan itu untuk menggugat kerajaan atau sesiapa pun, tetapi hadir kerana Najib adalah pemimpin yang banyak berjasa kepada kita. Sudah tentu kehadiran kawan-kawan ini memberi semangat baru kepada beliau,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Susulan itu, himpunan terbabit dilakukan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.

Bagaimanapun, UMNO dalam satu kenyataan semalam menjelaskan yang parti itu menarik balik langkah tersebut dan menyerahkan kebijaksanaan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh Najib.

Bagaimanapun, Pas tetap akan meneruskan hasratnya untuk berhimpun yang bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang Dipertuan Agong daripada sebarang manipulasi.

 Muhamad Akmal turut menegaskan yang beliau akan hadir bersama Pemuda UMNO yang lain namun memberi jaminan untuk tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan yang melibatkan keganasan atau sebarang bentuk melanggar undang-undang.

“Kita akur pada titah Yang di-Pertuan Agong tentang kedaulatan undang-undang. Sebagai ahli parti, saya juga akur dengan setiap keputusan parti, tetapi parti sudah menyatakan tidak ada sebarang perhimpunan dan kita sebagai ahli ingin menunjukkan solidariti dan sokongan terhadap Najib. 

“Siapa yang datang, boleh datang dengan tenang dan tidak perlu ada sebarang provokasi dan berakhir dengan baik. Saya percaya dari segi kedaulatan undang-undang sememangnya menjamin hak setiap rakyat untuk berhimpun dan saya yakin ramai ahli UMNO yang turut akan hadir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin UMNO lain, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah secara terbuka menjelaskan beliau juga akan turun ke pekarangan Istana Kehakiman bersama 100 ahli UMNO bahagian Subang.

“Sebagai seorang yang menyokong Datuk Seri Najib, pernah bekerja bawah beliau dan tanggungjawab saya sebagai sahabat, sudah pasti akan turun untuk terus beri sokongan dan dukungan kepada kes beliau. 

“Saya hormat titah Yang di-Pertuan Agong, saya hormat keputusan parti UMNO, tetapi saya berpegang kepada seorang yang setia pada konsep setiakawan. Apa jadi pun saya akan tetap turun ke mahkamah beri sokongan kepada Datuk Seri Najib,” ujarnya. – UTUSAN