Menggugat semula strategi cukai rokok Malaysia: Reformasi atau mundur?

Perniagaan

MUKADIMAH

Dasar cukai rokok Malaysia perlu segera diperkemas demi kesihatan awam dan pertumbuhan ekonomi.

Keputusan Malaysia untuk mengekalkan kadar cukai rokok sejak 2018 kembali mencetuskan perdebatan mengenai strategi fiskal dan kesihatan awam negara.

Pendekatan ini dilihat jauh berbeza dengan amalan di negara seperti Jerman dan Romania, yang menggunakan pelarasan cukai rokok secara berstruktur untuk mengurangkan kadar merokok dan meningkatkan pendapatan negara.

Jika tiada pembaharuan segera, Malaysia berisiko terus ketinggalan dalam memanfaatkan cukai sebagai alat penting untuk pertumbuhan ekonomi dan kesihatan awam yang mampan.

Wartawan Utusan Malaysia, HENDRA WINARNO berpeluang menemu ramah Pakar Undang-Undang Cukai merangkal Rakan Kongsi di RDS Partnerships dan Ketua SST & Kastam di RDS Advocates & Solicitors, SARAVANA KUMAR untuk berkongsi lebih lanjut berkenaan topik ini.

UTUSAN: Bagaimanakah dasar kenaikan cukai rokok secara tahunan sejajar dengan kadar inflasi dapat membantu meningkatkan hasil kerajaan dan menyokong usaha pengurangan kadar merokok di Malaysia?

SARAVANA: Cukai rokok diiktiraf sebagai salah satu sumber hasil kerajaan yang paling berkesan, namun dasar semasa Malaysia dilihat gagal memanfaatkan sepenuhnya potensi ini.

Nilai sebenar cukai rokok Malaysia semakin terhakis akibat inflasi. Jika cukai dinaikkan setiap tahun sejajar dengan kadar inflasi, kerajaan berpotensi mengutip hasil yang jauh lebih tinggi dalam nilai sebenar.

Saya menganggarkan bahawa peningkatan sederhana sebanyak lima peratus setiap tahun boleh menjana tambahan hasil sebanyak RM250 juta setahun.

Dana ini sepatutnya boleh disalurkan kepada sektor kesihatan, pembangunan infrastruktur atau inisiatif anti-rokok.

Namun, dengan tidak mengambil peluang ini, Malaysia ketinggalan berbanding negara jiran dalam aspek penjanaan hasil dan usaha pengurangan kadar merokok.

Bolehkah anda terangkan pula impak isu ini terhadap kesihatan awam dan peningkatan rokok seludup?

Dari sudut kesihatan awam, cukai rokok yang statik gagal mengurangkan tahap penggunaan, khususnya dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah yang sensitif terhadap perubahan harga.

Tanpa kenaikan secara berkala, rokok kekal mampu milik bagi golongan rentan, sekali gus membawa kepada kos kesihatan dan sosial jangka panjang yang tinggi.

Lebih membimbangkan, ketiadaan pelarasan harga yang konsisten turut membuka ruang kepada pasaran rokok seludup yang lebih menarik dari segi harga.

Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kutipan hasil kerajaan, tetapi turut merencatkan usaha kawalan dan penguatkuasaan berkaitan produk rokok.

Apakah cadangan anda untuk menangani isu ini supaya ia mempunyai pendekatan yang lebih teratur?

Bagi menangani isu ini, pendekatan yang lebih teratur dan strategik diperlukan. Kumar mencadangkan pelaksanaan kalendar cukai berbilang tahun dengan pelarasan berkala mengikut kadar inflasi.

Polisi ini bukan sahaja akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan terbaik di peringkat global, tetapi juga memastikan keseimbangan antara objektif kesihatan awam dan kemampanan fiskal.

Negara seperti Romania menjadi contoh terbaik, di mana peningkatan cukai secara berkala telah berjaya mengurangkan kadar merokok dan pada masa sama meningkatkan hasil negara.

Jadual cukai yang konsisten dan boleh dijangka juga memupuk pematuhan, mengurangkan tentangan daripada pihak berkepentingan dan memudahkan perancangan fiskal jangka panjang.

Bagaimana pelaksanaan jadual cukai berbilang tahun, seperti yang diamalkan di Romania, dapat membantu mengurangkan kadar merokok dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan negara?

Pelaksanaan jadual cukai berbilang tahun, seperti yang diamalkan di Romania, dapat mengurangkan kadar merokok dan meningkatkan hasil negara secara beransur-ansur.

Dengan kenaikan cukai yang dirancang secara berperingkat, perokok diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan harga yang lebih tinggi, mengurangkan permintaan rokok, dan mendorong peralihan kepada alternatif yang lebih selamat seperti rokok elektronik.

Selain itu, model ini membantu kerajaan merancang dan memproyeksikan hasil cukai jangka panjang, yang dapat digunakan untuk menyokong program kesihatan awam, kempen anti-merokok, dan penyelidikan produk alternatif.

Pelaksanaan ini juga memberi peluang kepada industri tembakau untuk beradaptasi dan mengelakkan ketidakstabilan pasaran. Jadual cukai berbilang tahun memberi kestabilan ekonomi dan kesihatan dengan mengurangkan potensi penyeludupan rokok dan pasaran gelap.

Dengan hasil cukai yang konsisten, kerajaan boleh membiayai kempen kesedaran dan pendidikan kesihatan, serta merancang dasar jangka panjang seperti perkhidmatan sokongan untuk perokok yang ingin berhenti.

Pendekatan ini juga dapat diselaraskan dengan inisiatif dasar lain, seperti pengharaman merokok di tempat awam, untuk mencapai kesan pencegahan yang lebih holistik.

Secara keseluruhan, model ini menawarkan jalan tengah untuk meningkatkan hasil fiskal dan mengurangkan kadar merokok dengan cara yang lebih berstruktur dan efektif.

Apakah langkah-langkah strategik yang boleh diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menyeimbangkan objektif peningkatan hasil fiskal dan pengurangan kadar merokok melalui pelarasan cukai rokok?

Kerajaan Malaysia boleh mencapai keseimbangan antara peningkatan hasil fiskal dan pengurangan kadar merokok melalui beberapa langkah strategik.

Pertama, cukai rokok boleh dinaikkan secara berperingkat, memberi masa kepada masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan harga yang lebih tinggi.

Hasil cukai boleh digunakan untuk membiayai program kesihatan awam seperti kempen anti-merokok dan perawatan bagi perokok yang ingin berhenti.

Selain itu, penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam dan penjualan kepada golongan muda perlu diperkukuh untuk mengurangkan akses kepada produk tembakau.

Di samping itu, kerajaan boleh menyokong alternatif kurang berbahaya seperti rokok elektronik, atau produk nikotin tanpa asap, dengan syarat ia terbukti lebih selamat daripada rokok tradisional, memberikan insentif kepada industri tembakau untuk menurunkan kandungan nikotin, dan memperkenalkan program sokongan bagi perokok yang ingin berhenti.

Sistem cukai yang progresif, berdasarkan kelompok pendapatan, boleh dilaksanakan untuk mengurangkan beban cukai terhadap golongan berpendapatan rendah.

Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan sektor swasta dan mengadakan penyelidikan berkala untuk menilai keberkesanan pelarasan cukai rokok.

Langkah-langkah ini akan membantu mencapai kedua-dua matlamat iaitu meningkatkan hasil fiskal dan mengurangkan kadar merokok.

Apakah harapan anda terhadap isu cukai rokok ini terhadap negara?

Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam dasar percukaian rokok.

Dengan mengadaptasi rangka kerja berperingkat dan terancang, kerajaan berpotensi mencapai keseimbangan antara kestabilan fiskal dan peningkatan kesihatan awam.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, perniagaan dan pihak berkepentingan, tetapi turut memastikan polisi yang konsisten dan berpandangan jauh.

Dengan memanfaatkan cukai rokok sebagai alat dwi-fungsi untuk penjanaan hasil dan advokasi kesihatan, Malaysia mampu mengubah peluang yang terlepas menjadi kejayaan yang boleh diukur demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara. – UTUSAN