LPP serah bantuan kepada peladang terlibat banjir

Perniagaan

KUALA LANGAT: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyerahkan bantuan barangan makanan kepada 208 anggota dan 16,772 ahli peladang di tiga negeri yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Menurut Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar, sejumlah RM100,000 nilai bantuan yang diperuntukkan bagi menyantuni golongan sasar yang terlibat dengan bencana alam di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Bantuan yang diberikan diharap dapat memberi sedikit kelegaan dan suntikan semangat buat warga terkesan banjir untuk terus bangkit menghadapi cabaran hidup.

“Bantuan lebih 10 tan yang disalurkan merangkumi barangan keperluan sedia dimakan dalam bentuk bakul makanan termasuk tajaan daripada syarikat korporat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Agromakanan LPP, hari ini.

Jelasnya, secara keseluruhannya kerajaan memberi tumpuan penuh kepada ahli peladang yang mengalami kerugian akibat kehilangan hasil tanaman padi.

“Penyerahan bantuan ini juga adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menunjukkan keprihatinan dan menyantuni kumpulan sasar.

“LPP juga telah menubuhkan Skuad Insan yang terdiri daripada anggota di peringkat negeri untuk menghulurkan bantuan secara langsung,” ujarnya. – UTUSAN