Pemuda PBS pelawa Warisan hantar permohonan rasmi sertai GRS

Politik

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) sekiranya ia ingin membuka lembaran baharu berjuang bersama-sama untuk kepentingan Sabah.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christoper Mandut berkata, biarpun Warisan sebelum ini dilihat lebih cenderung bekerjasama dengan UMNO namun, GRS menyambut baik niat Warisan untuk bekerjasama.

“Jika Warisan serius untuk menyertai perjuangan ini, kami menjemput mereka menghantar permohonan rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga besar GRS. Permohonan ini akan dibawa kepada Majlis Tertinggi GRS untuk dibincangkan dengan profesionalisme dan semangat keterbukaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menyatakan sudah beberapa kali menawarkan kerjasama dengan GRS namun, tiada kemajuan dicapai.

Christopher berkata, sejujurnya, itu adalah kali pertama beliau mendengar niat tulus tersebut kerana apa yang sering didengar daripada Warisan adalah kritikan terhadap GRS.

“Saya percaya Sabah akan menjadi lebih baik jika semua parti politik, termasuk parti pembangkang seperti Warisan mengenepikan perbezaan dan mengutamakan perpaduan,” katanya. – UTUSAN