PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi bersepadu roboh struktur haram di rezab jalan awam dan sitaan barangan perniagaan yang diletakkan di tempat awam sekitar kawasan Segambut semalam.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, sebuah rumah yang diubah suai tidak selaras dengan pelan yang telah diluluskan oleh DBKL dan dibina di atas rezab jalan awam juga telah dirobohkan.
“Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Alam Flora. Hasil daripada operasi yang dijalankan, 10 unit premis yang membina struktur tambahan hingga menutup longkang dan menutup laluan awam telah dirobohkan.
“Dua lagi pemilik premis telah berjanji untuk membuka sendiri struktur sambungan di premis mereka serta membersihkan semua halangan di tempat awam,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut DBKL, sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta telah dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta 1 notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
Kata DBKL, sisa struktur yang dirobohkan telah dilupuskan oleh DBKL selepas operasi tamat, manakala semua barang yang disita dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE