PETALING JAYA – Geran Anugerah Merdeka untuk penempatan antarabangsa edisi ke-10 yang ditawarkan setiap dua tahun sekali, kini dibuka untuk permohonan sehingga 1 Mei 2025.
Lembaga Pemegang Amanah Merdeka Award Trust, Kerina Fauzi, berkata melalui geran berkenaan, rakyat Malaysia di bawah umur 35 tahun digalak memohon.
“Geran Anugerah Merdeka untuk penempatan antarabangsa amat bermakna buat rakyat Malaysia kerana ia memberikan peluang unik kepada penerima untuk menjalin hubungan akrab dengan mentor di pelbagai institusi berprestij.
“Kami turut menyokong aspirasi individu daripada pelbagai bidang pengajian, penyelidikan dan amalan profesional serta penerima geran turut memanfaatkan peluang ini untuk bekerja di makmal terkemuka dunia ataupun bekerja bersama tokoh tersohor bagi mencipta impak yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Amanah Anugerah Merdeka mengalu-alukan permohonan daripada pelbagai disiplin antaranya bidang pendidikan, sains dan teknologi, kejuruteraan, alam sekitar serta sains perubatan dan kesihatan.
“Proses pemilihan adalah ketat dengan beberapa peringkat penilaian, termasuk temu duga bersama ahli jawatankuasa yang dilantik dan penghantaran video untuk Lembaga Pemegang Amanah.
“Kami juga menggalakkan pemohon untuk meluangkan masa dan usaha dalam menyediakan esei dan dokumen permohonan mereka, kerana ia mungkin mengambil masa sehingga sebulan untuk diselesaikan,” katanya.
Jelasnya, geran itu bukan anugerah kewangan, namun ia merangkumi penginapan dan perjalanan sepanjang tempoh penempatan tiga bulan selepas penerima diterima di institusi pilihan mereka
Maklumat berhubung kelayakan, panduan permohonan dan pengalaman penerima geran terdahulu orang ramai boleh melayari laman web Anugerah Merdeka di pautan http:/ www.merdekaaward.my. – KOSMO! ONLINE