Harga OnePlus 13 terdedah sebelum pelancarannya di Malaysia, tempahan awal sudah dibuka

Teknologi

Pada hujung tahun 2024, OnePlus telah mengesahkan bahawa mereka bakal melancarkan flagship terbaru, OnePlus 13 di peringkat antarabangsa pada 7 Januari 2025. OnePlus Malaysia juga telah menguar-uarkan kehadirannya ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Namun, sebelum pelancarannya mengambil tempat, nampaknya harga rasmi OnePlus 13 dan konfigurasi yang ditawarkan telah didedahkan oleh beberapa pengedar sah OnePlus.

OnePlus 13 akan dijual pada RM4,399 dengan satu konfigurasi?

Menurut dua pengedar sah OnePlus iaitu SS Solution dan Pocket Smarts, OnePlus 13 akan ditawarkan dalam satu varian RAM 16GB dan storan 512GB di Malaysia. Harga jualan yang dinyatakan adalah RM4,399. Menariknya, harga ini RM200 lebih murah berbanding OnePlus 12.

Jika OnePlus 13 dilancarkan dalam satu varian sahaja, ia bukanlah perkara yang pelik memandangkan OnePlus 12 turut hadir dalam satu varian pada harga RM4,599 dengan RAM 16GB dan storan 512GB.

Tempahan awal OnePlus 13 dibuka sehingga 10 Januari

Apa yang pasti, tempahan awal OnePlus 13 telah pun dibuka di Malaysia sehingga 10 Januari 2025 ini. Untuk pembeli dalam tempoh ini, OnePlus juga menawarkan hadiah percuma bernilai sehingga RM547 seperti:

  • Set pengecas SuperVooc 100W (bernilai RM199)
  • Sarung telefon magnetik (bernilai RM149)
  • Powerbank magnetik 5,000mAh (bernilai RM199)

Pengedar sah lain seperti DirectD dan SS Solution turut menawarkan tambahan hadiah percuma seperti langganan TrendMicro Mobile Security, baucar hotel, pengecas kereta dan speaker Bluetooth.

Berdasarkan poster tempahan awalnya, kita juga dapat mengetahui OnePlus 13 akan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu putih, hitam dan juga biru yang menggunakan kemasan seakan kulit.

Spesifikasi OnePlus 13

Berkenaan spesifikasi, OnePlus 13 menggunakan skrin LTPO OLED 6.82-inci dengan resolusi 3168 x 1440. Panel paparannya turut menyokong kadar penyegaran setinggi 120Hz. Atas papan utama, ia dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite dan di China, ia dipadankan dengan RAM sehingga 24GB dan storan seluas 1TB.

Tetapi, pasaran Malaysia berkemungkinan hanya akan menerima satu varian dengan RAM 16GB dan storan 512GB.

Beralih di bahagian pengimejan, OnePlus 13 dilengkapi dengan tetapan trikamera di belakang yang menggunakan penjenamaan Hasselblad. Kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP yang memanfaatkan sensor Sony LYT-808 1/1.4″, kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto periskop dengan keupayaan zum optikal 3x.

Selain itu, telefon OnePlus 13 diiktiraf kalis air dan debu IP69/68 dan menggunakan speaker stereo, selain mempunyai empat mikrofon dengan teknologi penyaring hingar AI. Terdapat juga pengimbas cap jari ultrasonik di dalam skrin.

Tenaga telefon disalurkan oleh bateri berkapasiti 6,000mAh dan ia menyokong pengecasan 100W melalui USB-C. Ada juga sokongan pengecasan wayarles 50W pada telefon. Varian global OnePlus 13 dijangka akan menjalankan sistem operasi OxygenOS 15 yang dibina di atas Android 15.

Selain OnePlus 13, syarikat berkenaan juga dijangka akan memperkenalkan model lebih mampu miliki dan kemas kini kepada OnePlus 12R, iaitu OnePlus 13R. Ia dilaporkan akan dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 3 dan menggunakan bateri 6,000mAh.

[Sumber: Facebook SS Solution, SoyaCincau]