UMW Toyota lepasi rekod jualan 100,000 unit tiga tahun berturut-turut pada 2024

Perniagaan

PETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) mencatatkan rekod sebagai tahun ketiga berturut-turut melepasi sasaran tahunan 100,000 unit, dengan merekodkan lebih daripada 12,800 unit terjual pada Disember 2024, membawa jumlah unit terjual tahunan melebihi 102,300.

Menurut kenyataan, prestasi kukuh pada hujung tahun itu menunjukkan daya tarikan berterusan Toyota di pasaran automotif Malaysia, didorong permintaan pengguna untuk kenderaan yang menawarkan kecekapan, kebolehpercayaan, dan ciri keselamatan canggih.

“UMWT juga merekodkan 1.42 juta pelanggan yang kembali untuk perkhidmatan selepas jualan pada tahun 2024, yang menunjukkan komitmen Toyota dalam mengutamakan inovasi, kualiti, dan kepuasan pelanggan.

“Sebagai jenama yang telah menjadi sebahagian daripada landskap automotif Malaysia selama beberapa dekad, Toyota terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem mobiliti negara melalui Pendekatan Pelbagai Laluan.

“Dengan menawarkan pelbagai pilihan kenderaan, Toyota memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang semakin berkembang sambil menyokong peralihan negara ke arah mobiliti yang lestari.

“Strategi ini, digabungkan dengan komitmen Toyota terhadap kualiti, kebolehpercayaan, dan inovasi, telah memacu populariti berterusan model-model seperti Hilux, Vios, dan Corolla Cross Yang turut menjadi ppenyumbang utama kepada prestasi jualan Disember,” katanya.

Meneruskan momentum kukuh 2024 ke dalam 2025, UMWT kekal komited untuk mencapai kecemerlangan dengan memastikan tawaran terbaik untuk pelanggan dan pihak berkepentingan mereka.

“UMWT akan tetap teguh dalam menunjukkan dedikasi dengan memupuk perubahan positif dalam landskap automotif sebagai warganegara korporat,” katanya. – UTUSAN