Porsche Malaysia lancar Cayenne S E-Hybrid Coupé

Perniagaan

PETALING JAYA: Porsche Malaysia, diwakili Sime Darby Auto Performance, melancarkan varian Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé baharu untuk Malaysia dengan harga bermula RM728,000.

Pelancaran itu berikutan selepas kejayaan pelancaran varian ini di Thailand dan merupakan model kedua yang dipasang di Malaysia dan model pertama yang dipasang untuk eksport serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter berkata, Porsche telah mencapai beberapa pencapaian utama yang menyerlahkan kepentingan pasaran ini sejak menubuhkan fasiliti pemasangan tempatan di Malaysia pada 2022.

“Dalam hanya setahun, lebih daripada 1,000 unit Cayenne yang dipasang secara tempatan telah dihantar kepada pelanggan Malaysia, menunjukkan permintaan yang kuat dan kepercayaan yang tinggi terhadap jenama Porsche.

“Pada 2024, kami mencapai satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran Cayenne pertama yang dipasang secara serantau untuk Thailand, mengukuhkan komitmen kami menjadi rakan pemasangan yang kuat untuk Porsche di rantau ini.

“Meneruskan momentum ini, kami amat teruja untuk melancarkan model kedua, Cayenne S E-Hybrid Coupé di Malaysia untuk pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Penampilan yang ekspresif dan atletik
Cayenne S E-Hybrid Coupé baharu menampilkan penampilan yang sangat ekspresif dan atletik.

Pelanggan di Malaysia kini boleh menyesuaikan ini dengan pilihan warna cat luar Putih Carrara Metalik (Carrara White Metallic), Hiram Kromit Metalik (Chromite Black Metallic) dan Perak Dolomit Metalik (Dolomite Silver Metallic) tanpa kos tambahan.

Roda reka bentuk Cayenne S juga bersaiz 20 inci dalam warna Kelabu Vesuvius (Vesuvius Grey) menjadikan SUV ini lebih mewah dan sporty.

Selain itu, SUV mewah itu turut dilengkapi dengan Sistem Bunyi BOSE® Surround Sound premium, dua pilihan upholsteri kulit dengan kemasan licin dalam warna Hitam atau Merah Bordeaux dengan lambang Porsche pada tempat duduk kepala depan, kawalan iklim empat zon, ionizer kualiti udara dalaman. – UTUSAN