Mahkamah Korea Selatan lanjutkan waran penahanan Yoon

Teknologi

SEOUL – Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Selasa meluluskan lanjutan waran penahanan terhadap Presiden Yoon Suk Yeol yang berhadapan proses pendakwaan susulan tindakan singkat beliau menguatkuasakan undang-undang tentera, lapor Agensi Berita Yonhap.

Mahkamah Daerah Barat Seoul meluluskan lanjutan itu atas permintaan penyiasat dari Pejabat Penyiasatan Rasuah untuk Pegawai Kanan (CIO) selepas waran asal tamat pada Isnin, menurut pegawai.

Cubaan CIO untuk melaksanakan waran berkenaan Jumaat lepas gagal selepas kakitangan keselamatan presiden menghalang penyiasat daripada memasuki kediaman rasmi Yoon di pusat bandar Seoul.

Walaupun penyiasat tidak mendedahkan tempoh lanjutan waran, dipercayai ia melebihi tempoh biasa tujuh hari, memandangkan cabaran yang dijangka dalam menahan Yoon.

CIO memohon waran awal pada 30 Dis lepas, mendakwa Yoon terlibat sebagai dalang pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa.

Sehari kemudian, mahkamah sama meluluskan waran itu, menjadikannya kali pertama dalam sejarah waran penahanan dikeluarkan terhadap seorang presiden yang masih berkhidmat.

Dengan lanjutan ini, CIO dijangka membuat percubaan baharu untuk menguatkuasakan waran penahanan terhadap Yoon dalam masa terdekat. – Bernama