Alliance Bank bekerjasama dengan Samsung, Google tingkat pembayaran mudah alih

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) bekerjasama dengan Samsung dan Google bagi menawarkan pilihan pembayaran mudah alih yang lebih baik kepada pemegang kad kredit Visa.

Kerjasama ini membolehkan pengguna memasukkan kad kredit Visa Alliance Bank mereka ke dalam dompet Samsung Pay atau Google Pay, membolehkan pembayaran tanpa sentuh di jutaan peniaga di seluruh dunia termasuk kad Visa Platinum Virtual Credit Card (VCC) yang mengintegrasikan teknologi Dynamic Card Number (DCN).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, pihaknya sentiasa berinovasi untuk memberikan nilai dan kemudahan yang lebih tinggi.

“Keselamatan dan kemudahan transaksi adalah penting dalam pembayaran digital.

“Dengan Samsung Pay dan Google Pay, kami menawarkan tahap keselamatan dan fleksibiliti yang sama untuk pembayaran di kedai seperti yang kami lakukan untuk transaksi dalam talian,” katanya sempena Majlis pelancaran kad kredit secara maya pertama dengan Samsung Pay dan Visa di sini semalam.

Jelas beliau, kerjasama tersebut menekankan komitmen Alliance Bank untuk menyediakan penyelesaian pembayaran yang selamat, lancar dan inovatif untuk pelanggan mereka menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC) bagi transaksi tanpa sentuh.

“Pemegang kad kini boleh membuat pembayaran yang selamat dengan peranti Android sama ada semasa membeli-belah dalam talian, di kedai atau menggunakan pengangkutan awam.

“Kerjasama ini memperluaskan keupayaan VCC, menjadikannya boleh digunakan bukan sahaja untuk pembayaran dalam talian tetapi juga untuk transaksi di kedai.

“Dengan Samsung Pay dan Google Pay, bank menyediakan platform pembayaran mudah alih yang serba boleh yang memenuhi permintaan untuk pilihan pembayaran yang fleksibel dan selamat, terutamanya di kalangan pengguna yang celik teknologi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Samsung Malaysia Electronics, Charles Kim berkata, pihaknya menekankan matlamat untuk mewujudkan pengalaman transaksi mudah alih yang lancar dan selamat yang menggabungkan kemudahan dengan langkah keselamatan terkini.

Dalam pada itu, Ketua Perolehan Global Visa Asia Pasific, Previn Pillay mengulas mengenai peningkatan penggunaan pembayaran tanpa sentuh mudah alih dengan menyatakan bahawa lebih daripada 90 peratus transaksi Visa bersemuka di Malaysia kini adalah tanpa sentuh.

Beliau juga menekankan penerimaan yang semakin berkembang bagi kaedah pembayaran ini di pelbagai peniaga di seluruh negara.

“Sebagai sebahagian daripada kempen promosi yang berlangsung dari 9 Januari hingga 28 Februari 2025, pemegang kad Alliance Bank yang menambah kad mereka ke dalam Samsung Wallet akan menerima baucar e-RM5 di peniaga terpilih.

“Selain itu, 15 pelanggan tertinggi yang menggunakan Samsung Pay dalam tempoh ini akan memenangi peranti Samsung yang menarik, termasuk Galaxy Z Fold 6, Galaxy Z Flip 6, dan Galaxy Watch 7.

“Tawaran eksklusif belisatu percuma satu untuk aiskrim di kedai Inside Scoop juga akan tersedia untuk pemegang Kad Kredit Visa Alliance Bank yang menggunakan Samsung Pay atau Google Pay, sah sehingga Mac 2025,” katanya.

Pengenalan pilihan pembayaran mudah alih ini selaras dengan strategi lebih luas Alliance Bank untuk mempertingkatkan tawaran digitalnya dan memperdalam penglibatan pelanggan. – utusan