KUALA LUMPUR: Hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 bermula positif apabila beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke pusingan kedua, sebentar tadi.
Beregu No. 6 dunia itu menewaskan gandingan Amerika Syarikat (AS), Presley Smith-Jennie Gai pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena.
Turun selaku pilihan keempat kejohanan, beregu negara hanya memerlukan 36 minit sahaja untuk mencatat kemenangan straight set 21-15, 21-19.
“Bermain perlawanan hari ini sangat positif. Memang satu kebanggaan dapat memenangi perlawanan pada hari ini dan permulaan baik untuk Malaysia.
“Perlawanan pertama ini kami masih mencari rentak lagi. Semestinya perlawanan ini tidak sempurna tetapi pasangan saya (Soon Huat) ada banyak membantu dan membimbing saya apa yang perlu diperbaiki,” kata Shevon kepada pemberita sejurus tamat perlawanan, hari ini
Soon Huat-Shevon seterusnya akan menentang antara pasangan India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath atau Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh pada aksi pusingan kedua esok. – UTUSAN