Cikgu Thipanraj diumum guru terbaik dalam Asian Education Awards 2024!

Sains
Cikgu Thipanraj diangkat sebagai guru terbaik kerana menonjolkan kecemerlangan dan inovasi dalam amalan pengajaran dengan memimpin 42 projek inovasi bersama pelajar.

Cikgu Thipanraj diangkat sebagai guru terbaik kerana menonjolkan kecemerlangan dan inovasi dalam amalan pengajaran dengan memimpin 42 projek inovasi bersama pelajar.

“Saya tak menyangka akan muncul sebagai pemenang Anugerah Guru Terbaik di Asian Education Awards 2024 di Bangkok, Thailand November lalu.

“Ini kerana, persaingan dengan pendidik-pendidik cemerlang dari 15 negara di Asia memang sengit.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selain menjadi contoh baik kepada murid,” kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sutera, Skudai, Johor, Cikgu K Thipanraj.

Cikgu Thipanraj, 33, diangkat sebagai guru terbaik kerana menonjolkan kecemerlangan dan inovasi dalam amalan pengajaran dengan memimpin 42 projek inovasi bersama pelajar menerusi teknologi, pembelajaran secara langsung dan projek berasaskan inovasi.

Sumbangan beliau dalam bidang robotik, kelestarian alam sekitar dan inovasi secara tidak langsung membantu melahirkan pelajar yang kreatif dan kritis.

No Image Caption

Mengulas lanjut, Cikgu Thipanraj yang merupakan guru Sains dan Multimedia di SMK Taman Sutera berkata, antara projek inovasi yang dilakukan bersama pelajar adalah Underground Drone for Search and Rescue, Smart Chicken Feeder dan Waktu Wise.

“Projek Underground Drone for Search and Rescue direka untuk memantau kawasan bawah tanah dan membantu pasukan penyelamat susulan kejadian lubang benam.

Smart Chicken Feeder pula menyelesaikan masalah penternakan ayam di sekolah manakala inovasi Waktu Wise pula membantu pelajar menguruskan masa mereka dengan lebih efektif,” ujarnya dengan menambah pencapaian sebenar seorang guru bukan hanya menerima pengiktirafan atau anugerah sahaja sebaliknya melihat pelajar berjaya mencapai potensi adalah kepuasan yang sebenar.