Kestabilan dasar, kepimpinan serantau teras dalam RMK-13

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menekankan komitmen terhadap kestabilan dasar dan peranannya yang penting sebagai pemimpin serantau dalam masa depan ekonomi Asia Tenggara dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan datang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata rancangan itu akan berfungsi sebagai platform utama untuk menetapkan arah ekonomi Malaysia bagi tahun-tahun akan datang, menjejak kemajuan dasar dan memupuk perbincangan terbuka dan dinamik tentang hala tuju negara.

“Pendekatan Malaysia mencerminkan strategi serantau yang lebih luas, apabila Asia Tenggara menavigasi persekitaran global yang berubah,” katanya dalam ucapan pembukaan di Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025.

Rafizi berkata, Malaysia dan negara-negara Kecil, Terbuka dan Tidak Berpihak (SONA) harus mengambil perspektif globalis, memanfaatkan kedudukan unik mereka untuk mencorakkan laluan yang bebas dalam dunia yang semakin terpolarisasi.

“Bagi Malaysia, ini bermakna menerima kekuatan demografik dan peluang serantau sambil memajukan dasar yang berakar pada kerjasama dan pertumbuhan pragmatik,” katanya.

Rafizi menambah bahawa pertumbuhan yang dijangka di Asia Tenggara dan perubahan demografi adalah perkara utama dalam RMK-13.

“Menjelang 2030, populasi kelas menengah di rantau ini dijangka akan berganda berbanding dua dekad lalu, membentuk 65 peratus daripada jumlah penduduk dan melepasi asas pengguna Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Malaysia, sebagai sebahagian daripada rantau dinamik ini, berada dalam kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada potensi ekonomi penduduk muda, berdaya usaha dan terhubung secara digital,” tambahnya.

Beliau menekankan bahawa rancangan ini juga akan menonjolkan komitmen Malaysia terhadap perdagangan bebas dan kerjasama serantau, yang sangat berbeza dengan trend global yang semakin mengarah kepada perlindungan.

“Sebagai rantau yang paling banyak berurus niaga di dunia, Asia Tenggara bergantung pada perdagangan terbuka untuk merangsang pertumbuhan dan Malaysia tetap teguh dalam memperjuangkan pendekatan ini.

“Kerjasama dengan rakan tradisional dan bukan tradisional akan terus menjadi asas strategi ekonomi Malaysia di bawah rancangan ini,” katanya.

Menyedari cabaran perangkap pendapatan pertengahan, Rafizi berkata, RMK-13 akan memberi tumpuan kepada memupuk inovasi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi.

Beliau menjelaskan bahawa untuk melepaskan diri daripada pembangunan yang bergantung kepada buruh kos rendah dan nilai rendah, Malaysia perlu mengadaptasi strategi pertumbuhan yang dipacu oleh inovasi berdaya tinggi.

Dalam pada  itu, Rafizi berkata kestabilan dasar adalah ciri utama pendekatan ekonomi Malaysia, yang membezakannya dalam dunia yang semakin dicirikan oleh polarisasi politik.

“Walaupun Asia Tenggara sering dikritik kerana kekurangan kesatuan ideologi, tumpuan konsisten Malaysia terhadap dasar yang berorientasikan pertumbuhan telah terbukti berkesan merentasi kerajaan-kerajaan yang berbeza.

“Kestabilan ini meningkatkan reputasi Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai untuk kerjasama jangka panjang,” katanya.

Rafizi menambah bahawa RMK-13 menggambarkan visi Malaysia untuk pertumbuhan yang berterusan dan kepimpinan serantau,, dengan memanfaatkan kekuatan kestabilan dasar dan pembangunan ekonomi secara kolaboratif.

“Seiring dengan perkembangan dekad yang menentukan ini, Malaysia sedang memposisikan dirinya untuk memainkan peranan penting dalam kemajuan berterusan Asia Tenggara di pentas global,” katanya. – UTUSAN