Pantech Global meterai perjanjian taja jamin Alliance Islamic

Perniagaan

PETALING JAYA: Pantech Global Berhad menandatangani perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad (AIS) untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

IPO Pantech Global melibatkan terbitan awam sebanyak 262.23 juta saham biasa baharu (Saham IPO), mewakili 30.85 peratus daripada modal saham diterbitkan Syarikat yang diperbesarkan sebanyak 850 juta saham selepas penyenaraian (Terbitan Awam).

Penyenaraian Pantech Global dijadualkan pada suku pertama 2025 dengan Alliance Islamic Bank adalah Penasihat Utama, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan.

Pengarah Urusan Pantech Global, Adrian Tan berkata, pihaknya berbesar hati mengambil langkah penting itu ke arah penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Securities, meletakkan kumpulan di landasan tepat untuk pertumbuhan perniagaan masa hadapan.

“Penyenaraian itu akan meningkatkan profil kami sebagai sebuah pengeluar dan pengeksport Malaysia, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap kepakaran teknikal, keupayaan pengeluaran dan komitmen menyampaikan penyelesaian berkualiti tinggi industri global,” katanya dalam kenyataan.

Pantech Global, melalui anak syarikatnya Pantech Steel Industries Sdn. Bhd. dan Pantech Stainless & Alloy Industries Sdn. Bhd, mengeluarkan dan mengeksport kelengkapan paip kimpalan butt weld dan paip dikimpal keluli tahan karat untuk kegunaan pelbagai industri.

Jelasnya, kumpulan juga menyediakan perkhidmatan kepada pasaran global yang pelbagai, merangkumi rantau Asia Pasifik, Amerika, Eropah, dan Timur Tengah dan Afrika Utara.

“Destinasi eksport utama kumpulan, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Belanda, Jerman, United Kingdom, Taiwan dan negara-negara di rantau Asia Pasifik, Turkiye, Mesir serta Emiriah Arab Bersatu.

“Pada 2023, kumpulan menguasai 66 peratus pasaran eksport Malaysia untuk kelengkapan paip kimpalan butt weld, dan 16 peratus pasaran pengeluaran Malaysia untuk paip dikimpal keluli tahan karat,” katanya. – UTUSAN