PETALING JAYA: Cobra Golf memperkenalkan siri baharu, DS-ADAPT, peralatan golf berteknologi tinggi yang direka khas untuk meningkatkan kawalan dan fleksibiliti bagi peminat sukan golf, sama ada profesional mahupun amatur.
Siri ini merangkumi pemacu, kayu ‘fairway’ dan hibrid, dilengkapi teknologi terkini FUTUREFIT33 yang membolehkan sehingga 33 pelarasan loft dan lie, selain sistem SMARTPAD yang menjamin pukulan lebih tepat di padang golf.
Ketua Pasukan Cobra Puma Golf SEA, Rick Chong berkata, inovasi baharu ini bertujuan membantu pemain mencapai prestasi terbaik menerusi keupayaan menyesuaikan peralatan mengikut keperluan mereka.
“Kami memahami setiap pemain mempunyai gaya tersendiri, dan dengan siri DS-ADAPT, mereka boleh mengoptimumkan peralatan untuk mendapatkan prestasi maksimum,” katanya ketika ditemui pada pada pelancaran DS-ADAPT, semalam.
Menurut Rick, siri DS-ADAPT turut menampilkan teknologi H.O.T. Face untuk meningkatkan kelajuan bola serta PWR-BRIDGE Weighting bagi menambah kestabilan ketika pukulan.
Ditawarkan pada harga bermula RM3,299, siri ini kini boleh didapati di semua pengedar rasmi Cobra Golf di seluruh negara.
Pengenalan siri DS-ADAPT ini dijangka menarik perhatian peminat golf tempatan, sekali gus memberikan pilihan terbaik untuk meningkatkan mutu permainan mereka.- UTUSAN