PETALING JAYA: Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu menamatkan aksi Liga Super berdepan Sri Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini dengan kemenangan.
Selepas 15 aksi Liga Super, skuad Jang masih belum meraih sebarang kemenangan di laman sendiri, dan hanya menang sekali di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Julai lalu.
Tonggak import dari Jepun, Takumi Sasaki sedar kerja keras yang perlu dilakukannya untuk memastikan pasukan dapat meraih kemenangan pertama di laman sendiri.
Dia menganggap pencapaian yang lebih positif dapat diraih pasukannya untuk meraih mata apatah lagi dengan kedudukan mereka di tangga tercorot liga ketika ini.
Sasaki juga percaya dia dan rakan sepasukan telah melakukan persediaan yang lebih baik selain tidak gentar dengan ancaman yang bakal dihadirkan oleh anak buah Fandi Ahmad.
“Sudah pasti perlawanan itu sangat penting untuk kami dan saya sebenarnya memang tidak gembira dengan kedudukan kami di tangga tercorot sekarang.
“Apatah lagi kita masih belum menang sekali pun dekat laman sendiri dan apa pun, pasukan ini kena bangkit semula.
“Untuk diri sendiri, saya masih belum berpuas hati dan ini adalah musim pertama saya di Malaysia jadi masih banyak yang saya perlu belajar dan ingin membuktikan sesuatu di sini,” katanya.
Bercakap mengenai Sri Pahang, Sasaki menyifatkan Manuel Hidalgo dan Stefano Brundo antara pemain yang ada kualiti tersendiri dan boleh memberi masalah kepada Negeri Sembilan.
“Bagi saya, setiap pemain Pahang ada kehebatan mereka tersendiri dan corak permainan yang unik antara mereka.
“Terutamanya pemain sayap kanan mereka, Hidalgo dan pertahanan, Brundo sebab saya pernah tengok mereka bermain dan perlu dikawal rapi,” ujarnya.-UTUSAN