Shahrifuddin sasar layak ke LA28

Sukan

PETALING JAYA: Pemain golf profesional negara, Shahrifuddin Ariffin menyasarkan penampilan di pentas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas melalui musim yang mencabar pada tahun lalu.

Shahrifuddin, 27, mengakui perlu memperbaiki prestasi dan kedudukan rankingnya untuk merealisasikan impian tersebut.

“Saya akui tahun lalu agak sukar, tetapi tahun ini saya berazam untuk bangkit. Sasaran saya adalah untuk kekal sihat, bermain lebih banyak kejohanan dan memperbaiki kedudukan ranking,” katanya.

Shahrifuddin yang lebih dikenali sebagai Dino turut menyasarkan keputusan terbaik dalam beberapa kejohanan tempatan dan antarabangsa, termasuk Sri Selangor Masters.

“Saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Sasaran saya adalah sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lima atau 10 terbaik dan Jika dapat lebih, itu bonus,” ujarnya.

Meskipun sedar bakal berdepan saingan sengit daripada pemain luar negara, beliau kekal optimis untuk memperbaiki kedudukannya di arena antarabangsa demi mengukuhkan peluang ke Olimpik.

“Segala-galanya bermula dengan usaha konsisten. Saya akan terus bekerja keras untuk memastikan nama Malaysia tersenarai di LA28,” tegasnya.

Pemain yang kini giat mempersiapkan diri menghadapi musim baharu itu juga optimis dengan kemunculan teknologi baharu dalam sukan golf, seperti driver baharu daripada Cobra yang menawarkan 33 tetapan.

“Produk ini sangat baik untuk pemain dari pelbagai peringkat, termasuk pemain pro dan amatur. Ia membantu meningkatkan jarak pukulan dengan ketepatan yang lebih tinggi.

“Dengan sokongan teknologi seperti ini, saya yakin dapat meningkatkan prestasi saya,” tambahnya.-UTUSAN