KUALA LUMPUR: Selepas tumbang pada penampilan sulung di Terbuka Malaysia, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mengalihkan tumpuan untuk merealisasikan sasaran menembusi ranking 15 terbaik dunia.
Pasangan yang tumpas kepada beregu berpengalaman dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada aksi pusingan pertama, turut menyasarkan untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2025 pada Ogos ini.
Arif berkata, formula untuk mencapai dua sasaran itu adalah beliau bersama Roy King menaruh harapan untuk merangkul gelaran pertama Jelajah BWF pada musim ini sebagai pembakar semangat.
“Kalau boleh kami mahu mencapai 15 pasangan terbaik sekurang-kurangnya sebelum memasuki bulan Jun. Saya harap kita akan mendapat gelaran pertama tahun ini dan kemudian kami akan berasa lebih yakin.
“Saya lebih yakin dengan pasangan saya (Roy King). Dengan kemajuan kami, saya rasa kami lebih positif sekarang ini,” kata Arif.
Kelmarin, pasangan No.23 dunia itu terpaksa menerima kekalahan selepas hanya dipisahkan dengan jurang pengalaman kepada beregu pecah ganding dengan Won Ho merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 manakala Seung Jae bekas juara dunia.
Dalam masa yang sama, Arif turut berkongsi pengalamannya bermain kejohanan bertaraf Super 1000 di laman sendiri dan mengakui bahawa setiap kejohanan lawannya sama hebat.
“Sebelum ini saya pernah berkata setiap pesaing kami adalah sama walaupun perbezaan dalam taraf kejohanan. Kami pergi mana-mana kejohanan memang sama tidak kisah sama ada Super 500 atau 700 saya rasa tidak ada perbezaan.
“Cuma kali ini kami bermain di laman sendiri dan itu memberi perbezaan yang besar. Tekanan bermain di negara lain dengan sebagai tuan rumah sangat berlainan,” katanya lagi.
Arif-Roy King seterusnya akan berlepas ke New Delhi bagi kejohanan Terbuka India yang akan berlangsung pada Selasa depan dan bakal berdepan dengan pasangan Jerman, Daniel Hess-Marvin Seidel.-UTUSAN