MIAMI: Ketua jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano menegaskan adalah “mustahil” untuk mempertimbangkan penyertaan Neymar ke kelab itu bagi bergandingan semula dengan Lionel Messi dan Luis Suarez seperti zaman gemilang mereka di Barcelona.
Menurut Mascherano, peraturan had gaji Major League Soccer (MLS) menjadi kekangan utama yang menghalang perancangan itu.
“Kami tidak boleh bercakap tentang Neymar kerana tiada apa-apa dalam perancangan kami buat masa ini.
“Beliau pemain hebat, dan semua jurulatih di dunia pasti mahu memilikinya, tetapi peraturan MLS membuatkan perkara ini mustahil,” katanya.
Neymar, 32, yang kini bersama kelab Saudi, Al-Hilal, sebelum ini menyuarakan keinginan untuk bergabung semula dengan Messi dan Suarez dalam satu wawancara bersama CNN. Namun, kontraknya bersama Al-Hilal hanya akan tamat pada Jun ini.
Bintang Brazil itu sebelum ini menyertai Al-Hilal pada 2023 dengan yuran perpindahan sebanyak €90 juta (RM441 juta), tetapi hanya beraksi tujuh perlawanan akibat kecederaan.
Mascherano, yang menggantikan Gerardo “Tata” Martino pada November lalu, kini lebih memberi tumpuan kepada persiapan taktikal pasukan untuk musim baharu selepas kecewa dengan kegagalan Miami dalam pusingan pertama playoff Piala MLS musim lalu.
Beliau turut menekankan kepentingan menguatkan mentaliti pemain bagi memastikan mereka dapat bersaing secara konsisten di atas padang.
“Selain daripada taktik, kami juga mahu memastikan pemain menikmati setiap sesi latihan dan membina semangat pasukan untuk menghadapi perlawanan dengan baik,” tambahnya.
Inter Miami, yang mencatat rekod cemerlang dengan 74 mata dalam 34 perlawanan musim lalu, bakal menghadapi cabaran besar untuk mengekalkan momentum mereka di bawah pimpinan baharu Mascherano.-AGENSI