Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir

Sukan

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai meneruskan rentak konsisten selepas mengesahkan slot separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Pasangan suami isteri yang menghuni ranking No. 6 dunia itu beraksi cemerlang menewaskan beregu No. 11 dunia dari China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-15, 22-20 dalam masa 47 minit.

Selepas enam tahun, akhirnya ada wakil negara dalam saingan beregu campuran selepas Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berbuat demikian pada 2019.

Kejayaan mara ke peringkat empat terbaik juga merupakan pencapaian terbaik Soon Huat-Shevon pada Terbuka Malaysia kerana penyertaan mereka sebelum ini setakat di pusingan kedua.

Pada separuh akhir, Soon Huat-Shevon akan berdepan Dechapol Puavaranukoh-Supissara Paewsampran dari Thailand yang menewaskan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-12, 14-21, 21-7 dalam masa 54 minit. – UTUSAN