DPIM cadang agenda perkukuh pembangunan ekonomi

Perniagaan

PETALING JAYA: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mengadakan perbincangan strategik bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bagi membincangkan tiga agenda utama DPIM dalam usaha memperkukuhkan pembangunan ekonomi bumiputera.

Tiga agenda tersebut adalah  Waqaf Korporat, Ekonomi Digital Islam, dan Industri Halal ASEAN. 

Wakaf korporat adalah satu pendekatan strategik yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan ekonomi melalui instrumen saham wakaf yang berdaya tahan dan lestari. 

Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, inisiatif ini menggabungkan pelaburan strategik dalam syarikat berprestasi tinggi, penggabungan secara jemaah syarikat-syarikat sederhana ke dalam satu entiti yang kukuh bagi penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia.

Katanya, inisiatif itu juga untuk pembiayaan mikro wakaf dan geran padanan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Jelasnya, pendekatan ini turut sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), dengan matlamat meningkatkan pemilikan ekuiti wakaf dalam sektor strategik dan ekonomi berprestasi tinggi. 

“Cadangan Waqaf Korporat Madani kepada Perdana Menteri mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Malaysia dengan pendekatan pelaburan strategik dan sistem sokongan bersepadu kepada usahawan.

“Ia bukan sahaja berfungsi untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi komuniti usahawan, tetapi juga memastikan pertumbuhan inklusif dan kesamarataan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dengan perancangan lima tahun yang digariskan, inisiatif ini dijangka memberikan impak besar, termasuk meningkatkan kehadiran pemilikan saham dan jumlah syarikat terutamanya bumiputera di Bursa Malaysia dan membangunkan syarikat wakaf yang berdaya saing di peringkat global.

“Perdana Menteri telah memberikan sokongan penuh kepada ketiga-tiga agenda yang dibentangkan. 

“Beliau turut mencadangkan beberapa agensi kerajaan dan kementerian untuk bekerjasama dengan DPIM dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Waqaf Korporat, Ekonomi Digital Islam, dan Industri Halal ASEAN ini,” jelasnya.-UTUSAN