KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta sejarah dalam karier mereka apabila mara ke separuh akhir buat kali pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan No. 14 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas gandingan ke-29 dunia, Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis 21-15, 21-11 dalam masa 31 minit.
Wei Chong-Kai Wun yang merupakan beregu No. 3 Malaysia itu tidak pernah melangkah sejauh separuh akhir, apabila mereka secara konsisten terkandas di pusingan pertama dalam tiga edisi lalu.
Esok, beregu No. 18 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi dari China menanti mereka di separuh akhir dan berdasarkan rekod pertemuan, Wei Chong-Kai Wun memiliki kelebihan psikologi kerana memegang rekod pertemuan 1-0 ke atas lawan mereka itu.
Wei Chong-Kai Wun menewaskan Bo Yang-Liu Yi pada Kejohanan Asia di Ningbo, China, tahun lepas.
Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tamat, Wei Chong berkata, berdepan beregu China, dia serta Kai Wun perlu benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental kerana pencabar mereka itu memiliki kekuatan dari segenap sudut.
“Kami perlu tahu apa yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan, perancangan permainan perlu disusun berdepan beregu China,” katanya.
Sementara itu,nasib berbeza mengiringi beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menghuni ranking ke-24 dunia, selepas mereka terkandas di suku akhir.
Yew Sin-Ee Yi tunduk kepada beregu No. 9 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 24-26, 15-21 dalam masa 50 minit. – UTUSAN