KUALA LUMPUR: Melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 buat kali pertama dalam karier merupakan satu penghormatan buat Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai selepas mereka melepasi halangan peringkat lapan terbaik di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.
Pasangan suami isteri yang menghuni ranking No. 6 dunia itu beraksi cemerlang menewaskan beregu No. 11 dunia dari China, Cheng Xing-Zhang Chi 21-15, 22-20 dalam masa 47 minit.
“Saya gembira, kejayaan mara ke separuh akhir satu penghormatan buat kami kerana kami beraksi di laman sendiri di hadapan penyokong dan ahli keluarga yang turut berada di sini (Axiata Arena) dan ini satu penghormatan juga dapat berjuang untuk Malaysia sekali lagi,” kata Shevon ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di sini, semalam.
Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon enggan terlalu terbuai-buai dengan kejayaan, semalam, kerana separuh akhir mereka bakal berdepan laluan yang lebih sukar berdepan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukoh-Supissara Paewsampran yang mengalahkan gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-12, 14-21, 21-7 dalam masa 54 minit.
“Kita pernah lawan dua kali beregu Thailand ini, rekod pertemuan 1-1, tetapi pada kejohanan kali ini mereka bermain dengan sangat bagus dan mantap terutama Dechapol yang merupakan seorang pemain yang bukan sahaja kuat tetapi juga bijak.
“Persediaan rapi perlu kita lakukan dengan perancangan permainan yang baik, beregu Thailand bermain tanpa rasa takut, apa yang mereka pamerkan pada Terbuka Malaysia cukup menggerunkan,” kata Shevon.
Kebimbangan Shevon itu berasas kerana Dechapol-Supissara merupakan beregu yang bertanggungjawab menyekat kemaraan pilihan kedua, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China di peringkat 16 terbaik menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-19.
Memandangkan mereka pernah berlatih bersama dengan beregu Thailand itu, Shevon berkata, pasangan tersebut cukup arif dengan corak permainannya dan Soon Huat, jadi, satu perancangan perlu difikirkan bersama jurulatih agar dapat mencari jalan berdepan Dechapol-Supissara.
Ketika ditanya peluang pertembungan sesama sendiri di pentas akhir, pemain berusia 31 tahun itu berkata, seandainya ramalan tersebut menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya pingat emas berada di dalam genggaman Malaysia.
Kali terakhir beregu campuran Malaysia menjejakkan kaki ke separuh akhir ialah pada edisi 2019 menerusi gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Bagaimanapun, Malaysia tidak pernah pernah merangkul gelaran dalam acara beregu campuran di Terbuka Malaysia sejak 60 tahun lalu selepas Teh Kew San-Ng Mei Ling berbuat demikian pada 1965 dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul pasangan terakhir mara ke final pada edisi 2016.-UTUSAN