Padang punca KL City tewas- Kuljanac

Sukan

PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City, Miroslav Kuljanac menyifatkan padang di Stadium Jalan Besar tidak sesuai untuk dijadikan venue perlawanan bola sepak.

Beliau berkata demikian selepas anak buahnya bergelut untuk beraksi di atas padang tiruan stadium itu sehingga menyebabkan mereka tumbang 0-2 di tangan Lion City Sailors FC bagi aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2024/25, kelmarin.

Jelas Kuljanac, pemainya bermain serba tidak menjadi dan sukar untuk menyaingi kemampuan tuan rumah yang berjaya merakam kemenangan pertama pada kempen kali ini selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

“Saya tidak boleh jangkakan kita akan bolos menerusi sepakan sudut tetapi inilah bola sepak. Selepas itu, kita sedikit kehilangan punca dan tidak begitu pasti untuk bermain khususnya ketika memberi tekanan kepada mereka.

“Mereka banyak bermain hantaran jauh dan ada dua atau tiga pemain yang begitu pantas di bahagian serangan yang memberikan banyak masalah kepada kita.

“Keadaan padang juga memberikan masalah dengan lantunan bola. Ini bukanlah padang untuk bola sepak tetapi kita tidak dapat mengubahnya,” kata Kuljanac.

Terdahulu, jaringan setiap babak oleh Bailey Wright dan Maxime Lestienne memberi kekalahan pertama buat KL City pada kempen ACC kali ini.

Kekalahan itu menyaksikan mereka tergelincir di tangga ketiga Kumpulan B dan hanya dua pasukan teratas akan mendapat tiket ke pusingan separuh akhir.

Disebalik kekalahan itu, Kuljanac tetap yakin pasukannya mampu kembali bangkit dalam aksi seterusnya jika mendapat kekuatan penuh dengan kembalinya beberapa pemain daripada kecederaan.

“Kita masih ada peluang dan ada dua lagi perlawanan penting untuk kita selepas ini. Cuma kita perlu dapatkan kekuatan penuh kerana masalah kita ketika ini adalah isu kecederaan,” ujarnya.-UTUSAN