Natasha pahat sejarah di Hong Kong, tamatkan kemarau 13 tahun

Sukan

PETALING JAYA: Natasha Roslan memahat sejarah apabila menjadi pemain boling wanita pertama Malaysia yang menjuarai Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF).

Natasha,27, memenangi gelaran itu apabila menewaskan wakil Jerman, Birgit Noreiks, 2-0 (217-166, 226-169) di Top Bowl, Kai Tak Sports Park, Hong Kong.

Kejayaan itu turut menjadikan Natasha sebagai pemain Malaysia pertama yang melengkapkan kejohanan berganda berprestij iaitu Piala Dunia dan Kejohanan Dunia.

Natasha sebelum ini, telah meraih gelaran juara perseorangan wanita pada Kejohanan Dunia 2023 di Kuwait.

Kemenangan diraih Natasha turut menamatkan penantian 13 tahun Malaysia untuk merangkul kejuaraan di Piala Dunia IBF.

Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan itu pada tahun 2012 di Wroclaw, Poland menerusi Syafiq Ridhwan Abdul Malek.

Malaysia sebelum ini hampir memenangi gelaran wanita beberapa kali, dengan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menjadi naib juara pada 2017, Li Jane pada 2014 dan 2018, serta Shalin Zulkifli pada 1996.

Dalam acara lelaki, Rafiq Ismail terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas tipis kepada wakil China, Du Jian Chao, dengan keputusan 2-1 (222-223, 226-166, 235-193) dalam perlawanan akhir.-UTUSAN